JOHOR BAHRU, 13 Mac (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa komited memastikan amalan kerja penyelenggaraan dilakukan secara selamat, lestari dan berinovasi dalam menyalurkan bekalan elektrik yang stabil kepada pengguna.
Dalam satu kenyataan, syarikat utiliti itu memaklumkan penggunaan kaedah langsung atau ‘live method’ membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan tanpa gangguan bekalan sekali gus mengurangkan impak kepada pengguna dan mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan menara penghantaran atau ‘tower top inspection’ (TTI) dilakukan bagi memastikan komponen utama seperti palang silang, penebat dan lug wayar jumper berada dalam keadaan baik.
“TTI dijalankan secara ‘live method’ iaitu tanpa memutuskan bekalan elektrik.
“Kaedah ini membolehkan pasukan kejuruteraan memantau keadaan fizikal menara secara sistematik dan memastikan ketahanan infrastruktur penghantaran tenaga. Dari perspektif kelestarian pula, penyelenggaraan berjadual ini membantu mengelakkan keperluan kerja pembaikan kecemasan,” menurut kenyataan itu.
TNB memaklumkan setiap anggota kerja perlu menjalani latihan khas sebelum diberi kebenaran untuk memanjat menara penghantaran, termasuk memastikan sentiasa ada seorang pembantu dalam jarak penglihatan, menggunakan peralatan perlindungan diri lengkap termasuk tali keselamatan berkembar dan abah-abah keselamatan penuh.
“Selain itu, mereka perlu memasang sistem perlindungan jatuh sokongan (backup fall arrest system) sebelum memulakan kerja dan taklimat keselamatan harian turut diberikan sebelum setiap tugasan, bagi memastikan keselamatan diutamakan.
“Kita juga memberi perhatian terhadap aspek kesihatan dan kesejahteraan pekerja dengan memastikan semua petugas teknikal menerima latihan keselamatan berkala dan dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri yang sesuai,” menurut kenyataan itu.
Menurut TNB kerja-kerja penyelenggaraan sering melibatkan kawasan sukar diakses sama ada melalui laluan air atau darat selain cabaran alam sekitar termasuk risiko haiwan liar seperti babi hutan dan ular.
“Bagaimanapun, penggunaan dron dalam pemeriksaan dan penyelenggaraan menara penghantaran meningkatkan keselamatan, kecekapan dan ketepatan data selain mengurangkan risiko kemalangan, membolehkan pemeriksaan tanpa pekerja perlu memanjat menara atau memasuki kawasan berbahaya.
“Selain itu, pemeriksaan boleh dilakukan lebih pantas tanpa memutuskan bekalan elektrik serta mengurangkan masa henti sistem. Dilengkapi dengan kamera definisi tinggi, dron turut membantu mengesan kerosakan kecil dan meramalkan keperluan penyelenggaraan,” tambahnya.
Menurut TNB, teknologi itu juga dapat menjimatkan kos, mengurangkan keperluan tenaga kerja dan peralatan berat di samping menyokong kelestarian dengan mengurangkan pelepasan karbon serta gangguan ekosistem, yang menjadikan operasi lebih cekap, selamat dan mampan, bertepatan dengan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
-- BERNAMA