KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat semula untuk mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi tinggi pada Jumaat, didorong oleh kenaikan yang dicatatkan kaunter utiliti serta produk dan perkhidmatan pengguna.
Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI meningkat 3.35 mata atau 0.22 peratus kepada paras tertinggi harian 1,513.38 daripada 1,510.03 ketika ditutup semalam.
Indeks utama itu dibuka 10.08 mata lebih rendah kepada 1,499.95.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 482 berbanding 304, manakala 431 kaunter tidak berubah, 1,201 kaunter tidak diniagakan dan 13 yang digantung.
Jumlah dagangan mencecah 2.14 bilion saham bernilai RM1.12 bilion.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd walaupun sektor teknologi yang terlebih jual baru-baru ini mengalami peningkatan semula namun aliran keluar asing yang berterusan ekoran dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) mungkin mengehadkan kenaikan sektor tersebut.
“Pelabur dijangka memberikan tumpuan kepada sektor seperti penjagaan kesihatan, khususnya pengendali hospital. Kami juga kekal positif terhadap saham perbankan dan utiliti yang berwajaran tinggi kerana ciri defensifnya ketika kelembapan ekonomi,” menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan.
Antara saham berwajaran tinggi, Maybank dan YTL Corp masing-masing menambah lapan sen kepada RM10.38 dan RM1.90, Gamuda meningkat enam sen kepada RM3.96, dan 99 Speed Mart naik tiga sen kepada RM2.04, manakala IOI susut dua sen kepada RM3.65.
Bagi saham aktif, Saudigold turun setengah sen kepada 1.0 sen, manakala KNM dan Kinergy masing-masing kekal pada 4.0 sen dan 32 sen.
Oppstar naik tujuh sen kepada 61.5 sen dan TT Vision meningkat 16.5 sen kepada 70.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 41.47 mata kepada 11,292.02, Indeks FBM 70 melonjak 110.03 mata kepada 16,099.16, Indeks FBM Emas Shariah menokok 37.72 mata kepada 10,943.51, Indeks FBM ACE menambah 79.80 mata kepada 4,610.34, dan Indeks FBMT 100 naik 38.17 mata kepada 11,069.18.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 10.78 mata kepada 7,342.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 46.42 mata kepada 18,618.61, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.76 mata kepada 153.09, dan Indeks Tenaga menambah 7.19 mata kepada 712.76.
-- BERNAMA