SERI ISKANDAR, 15 Mac (Bernama) -- Lebih 1,000 kilogram pakaian terpakai termasuk baju kurung, baju Melayu, kemeja-T dan pakaian kanak-kanak diedarkan secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan pada program Flea Market Aidilfitri 2025 selama dua hari bermula hari ini di ruang legar Masjid Bandar Universiti di sini.
Pengarah Projek Flea Market Aidilfitri 2025, Noraziah Azizan berkata semua pakaian yang diterima telah dipilih dengan cermat dan setiap keluarga yang hadir dibenarkan mengambil sepasang pakaian seorang mengikut keperluan masing-masing.
Beliau berkata pemberian pakaian itu dibuka kepada semua pihak di Bandar Universiti dan kawasan sekitarnya yang kurang berkemampuan yang ingin mendapatkan pakaian terpakai secara percuma khususnya untuk berhari raya, bermula dari 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.
"Program ini julung kali diadakan hasil kolaborasi Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar dengan Jawatankuasa Masjid Bandar Universiti, dan kami menyasarkan lebih 400 keluarga dapat dibantu," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Noraziah berkata pihaknya mula mengumpul pakaian berkenaan sejak pertengahan Februari lepas melalui hebahan dalaman kakitangan Akademi Pengajian Bahasa, termasuk sumbangan pelbagai pihak.
"Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan, kita terima banyak pakaian, ada yang terpakai dan ada juga yang baharu disumbangkan oleh penderma untuk dikongsikan kepada mereka yang memerlukan," katanya.
Noraziah berkata beliau tidak menyangka program itu turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang datang dari luar Perak Tengah seperti Ayer Tawar, Parit, Tanjung Malim, malah mereka dari Pulau Pinang turut menyatakan hasrat untuk hadir hasil hebahan melalui media sosial.
"Jika ada rezeki, tahun hadapan kita akan teruskan penganjuran dan akan perbaiki segala aspek kekurangan pada tahun ini memandangkan kita tidak jangka sambutan yang diberikan begitu menggalakkan," katanya.
Sementara itu Pengerusi Masjid Bandar Universiti Azman Zainonabidin berkata pihak masjid turut terpanggil menyediakan pusat pengumpulan pakaian di masjid itu bagi meringankan beban mana-mana individu untuk menyambut hari raya.
"Hasrat kami adalah untuk memberi keceriaan kepada mereka bagi menyambut lebaran tidak lama lagi. Program seperti ini dilihat dapat mengurangkan kos dan pakaian terpakai yang disediakan di sini mereka boleh pilih dan bawa pulang.
"Masjid bukanlah medan untuk beribadah dan menjalankan aktiviti kerohanian sahaja, tetapi juga merupakan sebuah institusi serta organisasi penting dalam susunan tahap sosial dan agama pada peringkat lokaliti," katanya.
Bagi Zainal Abidin Awang, 67, dari Kampung Tengah, Parit, program tersebut banyak membantu keluarganya kerana mereka menerima pakaian yang elok, malah ada yang belum dipakai lagi.
"Walaupun sumbangan pakaian terpakai, ia masih elok serta boleh dipakai untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti, cumanya jangan mengikut nafsu, ambil sekadar keperluan sahaja," katanya.
Faridah Mat Baki, 66, dari Ayer Tawar pula berkata dia menghargai usaha pihak penganjur kerana sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban orang kurang bernasib baik.
"Dengan bantuan ini ia amat meringankan beban dan membantu terutamanya mereka yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan raya," katanya.
-- BERNAMA