AM

AGROBANK TAMPIL VIDEO RAYA SARAT MESEJ KEKELUARGAAN, KASIH SAYANG

15/03/2025 08:36 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Agrobank tampil dengan filem pendek “Terimalah Mama dan Papa” sempena Aidilfitri yang menggabungkan elemen kasih sayang, penerimaan serta keutuhan ikatan kekeluargaan dalam perbezaan agama dan kepercayaan.

Filem berdurasi lapan minit arahan Sabri Yunus itu menekankan konsep berlainan yang mengetengahkan kisah sepasang suami isteri mualaf merindui anak mereka yang sekian lama tidak pulang ke kampung halaman.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata filem yang dihasilkan itu membawa mesej mendalam tentang nilai kekeluargaan.

“Pemilihan tema umum ini sangat bertepatan dengan semangat Aidilfitri untuk bermaaf-maafan dan mengeratkan silaturahim.

“Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak adalah abadi dan tidak pernah pudar walau apa jua perbezaan yang wujud. Oleh itu, filem ini mengingatkan anak anak akan kewajipan mereka untuk sentiasa berbakti dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis tayangan perdana filem web berkenaan diadakan di Dadi Cinema, Pavillion hari ini dan dirasmikan  oleh Pengerusi Agrobank Datuk Yunos Abd Ghani serta turut dihadiri Pengurusan Kanan Agrobank dan barisan pelakon, termasuk teraju utama Angeline Tan dan Jessie Lim.

Filem itu boleh ditonton menerusi platform media sosial Agrobank bermula hari ini.

Dalam kenyataan sama, Agrobank turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melepaskan peluang untuk memenangi duit raya RM500 dan 10 gram kepingan emas eksklusif Ladybug Agrobank bagi 20 orang bertuah dalam cabutan Kempen Mega Million Raya 2.0.

“Maklumat lanjut mengenai Kempen Mega Million Raya 2.0 layari www.agrobank.com.my atau kunjungi cawangan Agrobank yang berdekatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan