JOHOR BAHRU, 15 Mac (Bernama) -- Seorang pemandu rentung selepas keretanya dipercayai terbabas dan terbakar di KM11.3 Lebuhraya Senai-Desaru di sini, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya Pegawai Bomba Kanan II Saifulbahri Mahpop berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kemalangan membabitkan kereta Proton Iriz itu pada 3.33 pagi.
"Setibanya anggota bomba di lokasi, didapati kenderaan itu telah terbabas dan terbakar pada keseluruhannya.
“Terdapat seorang mangsa terperangkap di ruang pemandu, namun jantina dan identiti belum dikenal pasti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi melibatkan 12 anggota bomba beserta tiga jentera itu tamat sepenuhnya pada 5.17 pagi.
-- BERNAMA