NEW YORK, 15 Mac (Bernama-QNA) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran mengenai peningkatan membimbangkan Islamofobia yang membimbangkan di peringkat global dan menggesa platform digital mengambil langkah bagi membendung ucapan kebencian serta gangguan dalam talian, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Dalam mesej video sempena Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia, Guterres berkata dunia sedang menyaksikan lonjakan kebencian terhadap umat Islam, profil perkauman serta dasar diskriminasi yang mencabuli hak asasi manusia dan maruah, malah berlarutan sehingga ke tahap keganasan terhadap individu dan rumah ibadat.
Beliau menekankan keperluan mendesak bagi platform dalam talian untuk mengambil tindakan terhadap ucapan kebencian dan gangguan, selain menggesa semua pihak bersuara menentang sikap tidak bertoleransi, xenofobia dan diskriminasi.
Pertubuhan hak asasi manusia dan PBB melaporkan peningkatan ketara Islamofobia, sikap berat sebelah terhadap orang Arab serta antisemitisme susulan pelancaran serangan ketenteraan besar-besaran Israel ke atas Gaza pada 7 Okt 2023.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, badan pemantau hak asasi manusia telah mengeluarkan laporan yang menyoroti rekod baharu jenayah kebencian serta retorik berunsur hasutan terhadap umat Islam di beberapa negara Eropah dan Asia.
Sementara itu, kerajaan di negara-negara terbabit menegaskan komitmen mereka untuk memerangi semua bentuk diskriminasi.
-- BERNAMA-QNA