AM

SINGGAH SAHUR BERSAMA FOOD TRUCK CAP KUNCI BAWA SENYUMAN KEPADA ANAK-ANAK BAITUL SAKINAH

15/03/2025 04:13 PM

PELABUHAN KLANG, 15 Mac (Bernama) -- Mengimarahkan bulan Ramadan, EHH Food Industry Sdn Bhd membawa senyuman kepada 21 anak yatim dan asnaf dari Pertubuhan Baitul Sakinah As-Shariff, di sini menerusi program Singgah Sahur bersama Food Truck Cap Kunci. 

Eksekutif Pemasaran dan Penjenamaan EHH Food Industry Sdn Bhd Suliza Mastar berkata inisiatif berkenaan adalah simbolik sokongan dan penghargaan syarikat kepada komuniti, di samping mengeratkan lagi hubungan antara pihak korporat dan masyarakat. 

Beliau berkata ia juga bertujuan menyemai nilai kasih sayang dan keprihatinan syarikat terhadap golongan kurang bernasib baik, khususnya anak yatim dan asnaf selain memperkukuh komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kami percaya, tanggungjawab syarikat bukan hanya tertumpu kepada perniagaan malah kepada masyarakat sekeliling yang memerlukan.

“Melalui program seperti ini, kami berharap dapat membawa sedikit keceriaan dan membantu meringankan beban anak-anak ini dalam menjalani ibadah puasa," katanya. 

Program itu yang bermula 12 tengah malam melibatkan tujuh sukarelawan dari EHH Food Industry Sdn Bhd untuk menyediakan hidangan sahur berupa ayam goreng, kari telur dan hidangan sayur sebelum anak-anak di pertubuhan kebajikan tersebut bersahur pada kira-kira 5 pagi. 

Warden Pertubuhan Baitul Sakinah As-Shariff Muzlifah Abdul Aziz turut menzahirkan kegembiraan terhadap inisiatif tersebut yang telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya di pusat kebajikan itu yang disifatkan sebagai amat membantu dalam mengurangkan kos perbelanjaan. 

“Seronok terima kedatangan Cap Kunci ni, mereka pun memang setiap tahun akan buat sumbangan di sini dan ini merupakan kali kedua untuk program singgah sahur, memang kita alu-alukan. 

“Alhamdulillah inisiatif ini juga amat membantu dari segi stok makanan. Memang terima kasih banyak-banyak kepada pihak Cap Kunci,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan