AM

UNIMAP, PWP SANTUNI PETUGAS BARISAN HADAPAN MELALUI PROGRAM SINGGAH SAHUR

15/03/2025 03:11 PM

KANGAR, 15 Mac (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Persatuan Wartawan Perlis (PWP) menganjurkan Program Singgah Sahur bagi menyantuni petugas barisan hadapan yang bertugas pada waktu malam demi memelihara keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.  

Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Zaliman Sauli berkata program itu bukan sekadar menyediakan juadah sahur kepada mereka, tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada pasukan barisan hadapan itu atas dedikasi mereka dalam menjalankan tugas.  

"Setiap petugas barisan hadapan mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang bertugas pada waktu malam. 

“Inisiatif ini adalah sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas Program Singgah Sahur UniMAP bersama PWP awal pagi tadi.

Tujuh petugas media termasuk daripada Bernama berpeluang mendekati pasukan barisan hadapan melalui program itu dengan 350 bungkus makanan serta minuman diagihkan.

Antara lokasi dilawati untuk agihan juadah sahur itu ialah Balai Bomba dan Penyelamat Arau; Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar; Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Fauziah (HTF); pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kangar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan