KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) mencatatkan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperluaskan rangkaian rel negara dengan memulakan perjalanan sulung dari Stesen Segamat ke Padang Besar tepat pukul 7.55 pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata perjalanan dari Stesen Butterworth ke Stesen Segamat juga berlepas pada 7.50 pagi dan dijangka tiba 2.57 petang dengan perkhidmatan yang dilanjutkan itu merangkumi laluan sedia ada dari Butterworth-Gemas-Butterworth serta Padang Besar-Gemas-Padang Besar.
"Kami amat berbesar hati memperkenalkan perkhidmatan ETS ke Segamat, yang akan memberikan kemudahan perjalanan rel moden dan lancar kepada lebih ramai rakyat Malaysia. Lanjutan perkhidmatan ini mencerminkan komitmen kami dalam meningkatkan pengangkutan awam serta menyediakan pilihan perjalanan yang lebih lestari.
"Laluan baharu ini juga dijangka merancakkan aktiviti ekonomi di Segamat dengan meningkatkan kesalinghubungan dan menarik lebih ramai pelawat ke bandar ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata aktiviti promosi dimulakan tiga hari lepas dengan mengunjungi pejabat-pejabat kerajaan, pasar raya, masjid, serta bazar Ramadan di sekitar Segamat untuk bertemu orang ramai dan menghebahkan lanjutan perkhidmatan ETS ke Segamat.
KTMB juga menawarkan promosi khas dengan diskaun RM10 untuk perkhidmatan tren EG9321, EG9322, EG9420 dan EG9425, tertakluk kepada terma dan syarat kepada para pengunjung yang datang ke Stesen Segamat.
“Selain itu, jualan barangan eksklusif Rail Boutique KTMB serta pemeriksaan kesihatan percuma oleh Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) turut diadakan di Stesen Segamat untuk bersama-sama meraikan lanjutan pengoperasian tren ETS ke Segamat pada hari ini,” menurut kenyataan itu.
Tiket boleh dibeli melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kiosk KTMB atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.
-- BERNAMA