JENAYAH & MAHKAMAH

PGA TUMPASKAN PENYELUDUPAN MERCUN BERNILAI RM1.4 JUTA

15/03/2025 07:12 PM

KOTA BHARU, 15 Mac (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas mercun dan bunga api bernilai hampir RM1.4 juta dalam serbuan di Kampung Bunohan, Tumpat, semalam.

Komandernya Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan pada 6.45 petang menerusi Op Taring Charlie itu dibuat selepas pemeriksaan terhadap sebuah lori di hadapan premis mendapati ia membawa puluhan kotak mercun dan bunga api.

Beliau berkata dokumen yang ditunjukkan pemilik premis meragukan, menyebabkan polis merampas semua barang serta menahan lelaki tempatan berusia 31 tahun manakala kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, PGA menumpaskan cubaan menyeludup 1,040 anak pokok pelbagai tanaman bernilai RM104,000 di Pangkalan Haram Salleh, Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang.

"Sebuah lori mencurigakan ditahan menerusi Op Taring Wawasan sekitar 10.15 malam, dan pemeriksaan mendapati pokok-pokok berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram.

"Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang dipercayai penghantar tanaman itu turut ditahan. Kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) Seksyen 5," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan