AM

50 IBU TUNGGAL DIRAIKAN DALAM PROGRAM SIRI JELAJAH RAMADAN 2025

15/03/2025 09:59 PM

IPOH, 15 Mac (Bernama) -- Sebanyak 50 ibu tunggal daripada Pertubuhan Usaha Niaga Wanita Perak (PUNP) diraikan dalam Program Siri Jelajah Ramadan 2025 di pekarangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Perak di sini hari ini.

Pengarah RTM Perak Karim Sadiran berkata program bertemakan “Meraikan Ibu Tunggal di Bulan Ramadan” itu diadakan bertujuan menghargai ketabahan dan pengorbanan golongan berkenaan dalam meneruskan kehidupan seharian.

“Dalam program bersifat tahunan ini, kita bersama penaja utama seperti Petron Malaysia, Baba’s, NesQ dan Jasmine and Olive telah meraikan 50 ibu tunggal bersama 30 anak masing-masing.

“Penaja dalam program ini turut menyumbangkan barangan kebersihan diri dan keluarga bernilai RM180 sekotak meliputi tuala, sabun mandi, syampu, berus gigi, ubat gigi dan tuala wanita,” katanya ketika ditemui di sini.

Karim berkata pihaknya berharap sumbangan itu bukan hanya dapat meringankan beban perbelanjaan harian, malah juga dapat mengeratkan tali persaudaraan antara semua pihak.

“Kita harapkan program ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dengan lebih ramai penaja dalam kalangan badan korporat, syarikat korporat dapat bersama-sama dalam menyantuni golongan ini,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal Tun Syarilla Zainuddin, 50, berkata dia bersyukur dengan bantuan yang diberikan pada program yang kali pertama disertainya itu.

“Memang seronok sangat diraikan seumpama ini. Selain dapat berjumpa rakan-rakan dalam PUNP, kita juga terima sumbangan daripada pihak penganjur.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur dan sumbangan yang diberikan ini akan digunakan sebaiknya,” kata ibu kepada dua cahaya mata berasal dari Ipoh itu.

Selain itu, Aziatul Zuliana Zolkaply, 44, berkata dia amat berbesar hati kerana menjadi antara individu terpilih menerima sumbangan dalam program itu.

“Rasa terharu juga sebab pengalaman diraikan sepertimana majlis seumpama ini amat jarang saya peroleh. Selain dapat sumbangan, saya juga seronok dapat berjumpa kenalan yang bernaung di bawah PUNP,” katanya.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan