SUKAU, 15 Mac (Bernama) -- Dakwaan pembangkang kononnya kerajaan Sabah yang kini ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) gagal adalah suatu yang tidak berasas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusi GRS itu berkata sebaliknya, kerajaan negeri mencapai pelbagai kejayaan dalam pentadbirannya yang terbukti melalui peningkatan ketara hasil negeri sejak mengambil alih tampuk pemerintahan.
“Kerajaan negeri juga berjaya memeterai perjanjian penting dengan PETRONAS yang menjadi antara pencapaian utama pentadbiran semasa. Dalam aspek pendidikan, kerajaan negeri telah meningkatkan bantuan kepada pelajar di Sabah, merangkumi pelajar Tingkatan Lima dan Enam sehingga ke universiti.
“Kerajaan GRS dan PH telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan baik, berbeza dengan dakwaan pihak pembangkang,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri di sini malam ini.
Beliau berkata dalam memastikan pembangunan menyeluruh, kerajaan negeri memperkenalkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Hajiji turut menggesa rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fitnah dan dakwaan tidak berasas pihak pembangkang yang hanya pandai bercakap tetapi tidak melakukan apa-apa.
Ketua Menteri turut menekankan bahawa kerajaan negeri pimpinan GRS dan PH akan terus berusaha memajukan Sabah dan memastikan semua kaum serta masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negeri secara adil dan saksama.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau yakin keupayaan GRS dan PH yang mentadbir kerajaan negeri sekarang telah melakukan yang terbaik bagi membangunkan Sabah serta membela rakyat di negeri ini.
Justeru, beliau berkata rakyat diharap dapat memberi peluang kepada kerajaan pimpinannya itu untuk meneruskan usaha membangun dan membawa pelbagai kebaikan ekonomi serta kesejahteraan kepada rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
Mengulas mengenai Sukau yang kini berstatus daerah kecil, Hajiji yakinan untuk melihat daerah kecil itu membangun dengan lebih pesat menerusi pentadbiran Pejabat Daerah Kecil yang baharu, khususnya sektor pelancongan yang menjadi kekuatan ekonomi daerah ini.
-- BERNAMA