GEORGE TOWN, 15 Mac (Bernama) -- Kurang 24 jam sebelum pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, empat calon dari Pulau Pinang mengumumkan menarik diri bagi memberi laluan dan sokongan penuh kepada kepimpinan Generasi ketiga (3G) parti itu.
Calon berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu Phee Syn Tze, bekas ADUN Bagan Jermal Datuk Soon Lip Chee serta ahli parti K Kalidas dan PR Kaliyappan.
Dalam kenyataan bersama, keempat-empat calon itu memaklumkan keputusan berkenaan dibuat bertujuan menjelaskan kepada ahli DAP di seluruh negara peri pentingnya menyokong penuh kepimpinan 3G, terutamanya untuk membentuk barisan pimpinan yang teguh dan bersatu bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Barisan pimpinan kebangsaan DAP di bawah kepimpinan Setiausaha Agung Anthony Loke telah mengemudi parti dengan jayanya pada penggal 2022-2025. Justeru, kami menyokong penuh cadangan Setiausaha Agung untuk merombak semula CEC bagi menyuntik semangat baharu bagi menghadapi cabaran akan datang.
“Oleh itu, kami menyeru semua perwakilan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan 3G DAP,” menurut kenyatan itu hari ini.
Mereka turut menekankan bahawa DAP Pulau Pinang harus bergerak sebagai satu pasukan yang teguh dan bersatu untuk menjamin kemenangan di negeri itu buat kali kelima pada PRN akan datang.
Media semalam melaporkan Loke menjanjikan rombakan ‘berani dan besar’ bagi CEC DAP jika dipilih semula dalam pemilihan parti esok, bagi membolehkan pemimpin berbeza mengambil alih peranan baharu.
Sebelum ini dilaporkan 70 calon akan bertanding merebut 30 kerusi CEC DAP pada kongres nasional ke-18 parti di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Antara nama utama dalam senarai rasmi diumumkan ialah Loke, Lim Guan Eng, Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, Nga Kor Ming, Chow Kon Yeow, Steven Sim Chee Keong dan Chong Chieng Jen, Hannah Yeoh, Teresa Kok, Teo Nie Ching, Yeo Bee Yin, Young Syefura Othman, Lim Hui Ying, Vivian Wong, Wong Shu Qi dan Alice Lau.
-- BERNAMA