SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa tiada negara di dunia yang boleh maju dan stabil sekiranya berlaku pertembungan antara kaum dan agama yang berterusan.
“Mana ada negara di dunia ini yang boleh maju dan stabil (jika wujud) percaturan dan pertembungan antara kaum dan agama berterusan. Tidak ada.. tapi kita ada pilihan,” katanya ketika berucap di Kongres Kebangsaan DAP ke-18 Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.
Perdana Menteri berkata pendekatan kerajaan MADANI bersama DAP adalah untuk mengangkat martabat negara, mengukuhkan institusi, tadbir urus dan demokratik akauntabiliti .
“Saya ucap terima kasih kerana rakan-rakan dalam DAP membuat pilihan seperti kami juga dalam PKR dan Amanah, dan sekarang UPKO.. sekarang rakan-rakan kita UMNO, GPS dan GRS sekurang-kurangnya memberikan dukungan berdasarkan prinsip bahawa negara mesti tegas atas landasan yang betul,” katanya.
Beliau berkata kerajaan memerlukan dukungan serta penyertaan masyarakat pelbagai kaum.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata DAP sering kali dilabelkan sebagai parti perkauman khususnya oleh pembangkang, namun sebahagian mereka lupa bahawa kerjasama dengan DAP pernah dilakukan mereka sebelum ini dan perkara tersebut tidak pula dibangkitkan ketika itu.
Beliau berkata ketika ini naratif yang dimainkan pembangkang adalah memperalatkan isu kaum, dengan menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan ini lemah kerana tunduk kepada kuasa parti-parti khususnya daripada kaum Cina.
“Apakah mereka tak kenal? Dalam Pakatan Rakyat dulu, hampir 15 tahun PAS bersama semasa PH di bawah Tun Mahathir, orang-orang yang sekarang (sertai) Bersatu itu pernah duduk semeja dengan pimpinan DAP.
“Apakah luahan mereka itu luahan kenyataan yang benar? Tidak. Ia luahan golongan yang terdesak. Ini yang dikatakan desperado dalam politik,” katanya.
Perdana Menteri berkata pembangkang tidak pernah membawa cadangan atau dasar-dasar baharu, sebaliknya hanya cuba menakut-nakutkan golongan Melayu akan kemaraan kelompok Cina khususnya menerusi DAP.
Sementara itu Anwar berkata sokongan parti DAP kepada kerajaan bukan kerana individu, tapi atas prinsip dan agensi reformasi yang diperjuangkan.
Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada pimpinan DAP termasuk veteran Lim Kit Siang, Chen Man Hing, Karpal Singh serta P. Patto, tokoh yang banyak membawakan suara dan perjuangan rakyat.
-- BERNAMA