MELAKA, 16 Mac (Bernama) -- Majlis Perniagaan Malaysia-Bosnia & Herzegovina (MBBC) berhasrat untuk mengumpul 20,000 naskhah al-Quran untuk diagihkan kepada umat Islam di negara Balkan berkenaan.
Presiden MBBC Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata setakat ini majlis itu berjaya mengumpulkan kira-kira 2,000 naskhah kitab suci berkenaan, yang dibiayai oleh orang perseorangan, syarikat serta derma.
"Program ini juga adalah sebahagian daripada usaha menyokong Kempen Infak dan Waqaf 1 Juta Al-Quran ke seluruh dunia yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.
"Kita yakin mampu mengumpulkan 20,000 naskhah al-Quran menjelang pertengahan tahun ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar MBBC 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Duta Besar Bosnia & Herzegovina ke Malaysia Edin Jahic.
Sementara itu, MBBC dalam kenyataan memaklumkan majlis iftar berkenaan diadakan untuk mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran bagi penghantaran 20,000 naskhah al-Quran ke negara itu.
Kenyataan itu memaklumkan inisiatif berkenaan bertujuan untuk menyediakan naskhah al-Quran kepada komuniti Islam di negara itu bagi memastikan akses lebih besar dalam pemahaman terhadap isi kandungan kitab suci itu selain memupuk pertumbuhan ilmu Islam.
"Ia antara usaha mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Bosnia & Herzegovina dan menjadi satu wadah sokongan aksesibiliti ilmu Islam kepada mereka yang memerlukan," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA