AM

KTMB SEDIA TREN KHAS EKSPRES LAMBAIAN AIDILFITRI EDISI UTARA

16/03/2025 11:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan empat perkhidmatan tren khas Ekspres Lambaian Aidilfitri Edisi Utara bagi memenuhi permintaan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri. 

KTMB menerusi kenyataan memaklumkan sejumlah 1,920 tiket bagi empat perkhidmatan akan dijual bermula 8 pagi esok melibatkan laluan KL Sentral hingga Padang Besar, Perlis dengan tambang sehala pada RM70 dengan pilihan koc tempat duduk superior.

“Perkhidmatan tren khas ini disediakan sebagai alternatif pengangkutan sempena Aidilfitri bagi memudahkan orang ramai pulang ke kampung atau bercuti. Ini memberikan pilihan perjalanan yang lebih selesa dan lancar berbanding jalan darat, yang lazimnya mengalami kesesakan tinggi pada musim perayaan.

“KTMB kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan kereta api yang bukan sahaja selamat, tetapi selesa, khususnya untuk warga emas dan kanak-kanak bagi perjalanan jarak jauh,” menurut kenyataan itu. 

Tren dari KL Sentral dijadualkan bertolak pukul 10.30 malam pada 27 Mac dan 3 April, serta tiba di Padang Besar pada 7.22 pagi seterusnya, manakala perjalanan pulang dari Padang Besar dijadualkan pukul 10.30 malam pada 28 Mac dan 4 April untuk tiba di KL Sentral pada 7.10 pagi.

KTMB memaklumkan bahawa tren itu juga akan berhenti di stesen-stesen utama seperti Tanjung Malim, Ipoh, Kuala Kangsar dan Taiping di Perak, Sungai Petani dan Alor Setar di Kedah serta Arau, Perlis.

Tiket boleh didapati secara tanpa tunai melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 atau layari platform media sosial rasmi KTMB untuk maklumat terkini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan