SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke mengekalkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung bagi penggal 2025-2028 dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang berlangsung sempena Kongres Kebangsaan DAP ke-18 hari ini.
Ini adalah penggal kedua Loke menjawat jawatan berkenaan sejak mengambil alih daripada Lim Guan Eng pada 2022.
Berdasarkan perlembagaan parti, jawatan setiausaha agung hanya membenarkan seseorang memegang jawatan itu selama tempoh maksimum tiga penggal.
Menteri Pengangkutan itu antara 30 pemimpin yang berjaya mendapat undian tertinggi apabila memperoleh 2,508 undi.
Perkara itu diumumkan Loke pada sidang media selepas kongres berkenaan di sini malam ini.
Selain itu, Gobind Singh Deo pula dipilih sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan yang baharu menggantikan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Gobind yang juga Menteri Digital mendahului persaingan bagi pemilihan CEC dengan memperoleh 2,785 undi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dipilih sebagai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan.
Guan Eng pula dipilih sebagai Penasihat DAP bagi penggal 2025-2028 menggantikan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai dan beliau memperoleh 1,719 undi.
Seramai 4,203 perwakilan daripada 1,650 cawangan menghadiri kongres sehari secara fizikal di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam itu dan bertanggungjawab mengundi 30 anggota CEC untuk penggal 2025-2028.
Terdahulu, bekas Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Barat), bekas Bendahari Kebangsaan Fong Kui Lun (Ahli Parlimen Bukit Bintang), bekas Penasihat Tan Kok Wai (Ahli Parlimen Cheras) dan bekas Setiausaha Antarabangsa DAP Jannie Lasimbang memutuskan untuk tidak bertanding pada CEC kali ini.
Selain itu, jawatan Naib Pengerusi Kebangsaan pula diberikan kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Ketua Wanita DAP yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pengerusi DAP Selangor Ng Suee Lim, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Nilai J. Arul Kumar.
Selain itu, Loke turut mengumumkan pelantikan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ramkarpal Singh sebagai Timbalan Setiausaha Agung parti itu.
Dalam pada itu, Loke pada sidang media sama turut menyampaikan penghargaan kepada semua ahli CEC yang memberi kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin parti selama tiga tahun lagi.
Beliau berkata jawatankuasa baharu itu akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk melantik pemimpin lain yang tidak berpeluang bagi menganggotai CEC dan memegang jawatan di pelbagai biro parti.
Berikut senarai penuh CEC DAP untuk penggal 2025-2028:
Penasihat: Lim Guan Eng
Pengerusi Kebangsaan: Gobind Singh Deo
Timbalan Pengerusi Kebangsaan: Nga Kor Ming
Naib Pengerusi Kebangsaan: Chong Chieng Jen, Teo Nie Ching, Ng Suee Lim, Syahredzan Johan, J. Arul Kumar
Setiausaha Agung: Loke Siew Fook
Timbalan Setiausaha Agung: Steven Sim Chee Keong, Hannah Yeoh Tseow Suan, Ramkarpal Singh
Bendahari Kebangsaan: Ngeh Koo Ham
Penolong Bendahari Kebangsaan: Ng Sze Han
Setiausaha Organisasi Kebangsaan: Koo Poay Tiong
Penolong S/U Organisasi Kebangsaan: Lee Chin Chen, Tan Hong Pin
Setiausaha Publisiti Kebangsaan: Yeo Bee Yin
Penolong S/U Publisiti: Young Syefura Othman, Wong Shu Qi
Setiausaha Antarabangsa: P. Kasthuriraani
Penolong S/U Antarabangsa: Alice Lau Kiong Yieng
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan: Lee Chuan How
Penolong Pengarah Pendidikan Politik: Vivian Wong Shir Yee
Pengarah Strategik: Liew Chin Tong
Pengarah Dasar: Chan Foong Hin
Pengarah Pilihan Raya: Wong Kah Woh
AJK: Teo Kok Seong, Chow Kon Yeow, Liow Cai Tung
-- BERNAMA