SUKAN

MUHAMMAD AFIFUDDIN KEMBALI PERKUAT SKUAD SEPAK TAKRAW KEBANGSAAN

17/03/2025 08:16 AM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Bekas kapten skuad sepak takraw negara Muhammad Afifuddin Mohd Razali bakal kembali beraksi bersama skuad itu menjelang saingan Kejohanan Piala Dunia Bihar 2025 di India yang akan berlangsung dari 20 hingga 25 Mac ini.

Langkah penyenaraian pemain apit kanan (killer) ATM Guardians itu diumumkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan selepas beberapa pemain yang dikumpul bagi mengharungi kejohanan berkenaan berdepan kekangan untuk melaporkan diri.

"Kita menghadapi masalah pemain belum cukup sepenuhnya. Ada beberapa pemain belum melaporkan diri sebab masalah pelepasan daripada majikan selain masalah lain yang belum selesai. 

"Jadi, kita ambil keputusan perlu masukkan seorang lagi pemain untuk kuatkan mana-mana acara dan putuskan beliau (Muhammad Afifuddin) kembali ke skuad memandangkan ada dua, tiga pemain lagi yang tiada," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi PSM semalam.

Mohd Sumali berkata khidmat Muhammad Afifuddin turut ditagih skuad negara yang juga dalam rangka persiapan menjadi tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 pada Mei ini.

"Kita tidak boleh tunggu lama sebab kejohanan sudah dekat, Piala Asia juga sudah dekat, jadi kita ambil langkah awal masukkan beliau.

"Itupun setelah kita berbincang dengan ketua jurulatih yang putuskan untuk ambil pemain senior dan berpengalaman dalam masa yang singkat ini untuk gabungkan dengan pemain sedia ada," katanya.

Kejohanan Dunia Sepaktakraw Bihar disertai 20 negara termasuk tuan rumah India, selain Brazil, China, Taiwan, Perancis, Itali, Switzerland, Iran, Jepun, Malaysia, Myanmar, Indonesia, Nepal, New Zealand, Poland, Singapura, Sri Lanka, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Skuad sepak takraw lelaki negara tidak menyertai acara regu, sebaliknya akan turut serta dalam acara double dan kuadran pada kejohanan terbabit.

Dalam perkembangan lain, Mohd Sumali berkata Program Pembangunan Sepak Takraw Kebangsaan (NSTDP) yang mendapat lampu hijau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk dilaksanakan pada April kini berada dalam fasa akhir.

"Setakat ini, kita sudah capai sebanyak 70 peratus perbincangan. Yang lain adalah untuk adakan mesyuarat jawatankuasa teknikal dan buat bengkel untuk makluman kepada semua negeri kaedah pelaksanaannya dan kemudian ia boleh diteruskan," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan