EKONOMI

PERANG TARIF AS TERUS JEJAS EKUITI ASIA DENGAN ALIRAN KELUAR BERSIH US$6.73 BILION - MIDF

17/03/2025 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pelabur asing mengekalkan pandangan lemah terhadap ekuiti Asia, terus mencatatkan jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan aliran keluar yang ketara berjumlah US$6.73 bilion (US$1=RM4.43) kecuali Filipina manakala pelabur tempatan membantu Bursa Malaysia meredakan impak daripada aliran keluar pasaran yang lebih luas.

“Satu-satunya negara yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah Filipina manakala pasaran serantau lain terus mencatatkan aliran keluar,” menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd dalam Laporan Aliran Dana bertajuk “Tit for Tat: U.S. Tariffs Spark Global Retaliation” pada minggu berakhir 14 Mac.

Taiwan mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi untuk minggu ketiga berturut-turut berjumlah US$3.80 bilion berikutan pelabur asing menjual saham dengan agresif terutamanya syarikat semikonduktornya TSMC disebabkan kebimbangan global terhadap penilaian saham cip.

Korea Selatan menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak US$1.51 bilion, India (-US$603.9 juta), Thailand (-US$248.6 juta), Indonesia (-US$225.7 juta) dan Vietnam -US$66.9 juta.

Sementara itu, bursa tempatan mencatatkan aliran keluar pelabur asing sebanyak RM1.34 bilion atau kira-kira US$302.4 juta.

Menurut MIDF, penganalisis percaya walaupun ketegangan politik boleh mewujudkan situasi tidak menentu di Filipina, negara tersebut terus menarik pelaburan asing. 

Filipina mendahului rantau ini dengan aliran masuk bersih sebanyak US$32.5 juta walaupun berlaku ketegangan politik termasuk penahanan bekas Presiden Rodrigo Duterte dan pemecatan Naib Presiden Sara Duterte.

“Bagaimanapun, untuk kembali kepada trajektori pertumbuhan sebelum pandemik, Filipina perlu mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan 9.0 peratus hingga 9.5 peratus sehingga 2028, jauh lebih tinggi daripada sasaran kerajaan 6.0 peratus hingga 8.0 peratus,” katanya.

Di Korea Selatan, sentimen pelabur kekal lemah berikutan Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS)  mengklasifikasikannya sebagai negara "sensitif", mencetuskan kebimbangan mengenai risiko geopolitik manakala India terus mencatatkan aliran keluar asing berikutan turun naik ekonomi dan perdagangan.

Thailand turut mengalami pengeluaran asing untuk minggu ketiga berturut-turut berikutan kerajaan meningkatkan langkah-langkah rangsangan ekonomi termasuk program pemberian tunai berjumlah US$4.4 bilion menyasarkan golongan muda untuk meningkatkan perbelanjaan domestik.

Menurut MIDF Amanah, Indonesia mencatatkan aliran keluar bersih berikutan kerajaan mengekalkan unjuran defisit belanjawan 2025 pada 2.53 peratus daripada KDNK walaupun terdapat penurunan sebanyak 30 peratus dalam hasil cukai pada awal 2025.

Vietnam sedang mengkaji semula duti importnya ke atas barangan AS termasuk gas asli cecair dan produk pertanian untuk meredakan ketegangan perdagangan dan mengelak kemungkinan tarif balas daripada Washington.

Dalam negara, katanya institusi tempatan terus menyokong Bursa Malaysia untuk minggu ke-21 berturut-turut dengan aliran masuk yang kukuh sebanyak RM1.31 bilion dalam ekuiti domestik, lebih dua kali ganda daripada aliran masuk sebanyak RM617.3 juta pada minggu sebelumnya.

Katanya pelabur runcit tempatan meneruskan belian bersih mereka untuk minggu kelima berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih perlahan, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM31.5 juta, penurunan mendadak daripada RM264.2 juta pada minggu sebelumnya.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan kenaikan kecuali pelabur runcit tempatan,” katanya.

Katanya pelabur asing dan institusi tempatan, masing-masing mencatatkan kenaikan sebanyak 11 peratus dan 10.9 peratus manakala peruncit tempatan menyaksikan penurunan sebanyak 1.6 peratus.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan