AM

BEKALAN BARANGAN KEPERLUAN MENJELANG AIDILFITIRI MENCUKUPI DI PULAU PINANG - EXCO

17/03/2025 03:55 PM

GEORGE TOWN, 17 Mac (Bernama) -- Bekalan barangan keperluan asas menjelang sambutan Aidilfitri adalah mencukupi di Pulau Pinang, kata Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan negeri Fahmi Zainol.

Beliau berkata pihaknya tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan kekurangan bekalan setakat ini, dan memberi jaminan barangan seperti ayam, daging, telur, minyak masak dan santan mencukupi bagi menampung permintaan musim perayaan.

"Selalunya, kalau nak raya, (bekalan) barangan seperti telur, ayam, daging, minyak dan santan akan ada masalah tapi setakat ini, tiada aduan rasmi dibuat kepada pihak saya.

"Keadaan masih terkawal, mungkin cuma (bekalan) minyak masak paket kurang tetapi yang lain mencukupi dan (untuk) harga juga dilihat tak menjadi masalah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Fahmi berkata situasi itu turut didorong oleh penganjuran program Jualan Rahmah yang menawarkan harga rendah untuk barangan keperluan asas bagi meringankan beban rakyat.

Beliau berkata program jualan itu diadakan setiap minggu mengikut lokasi di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sambutan diterima amat menggalakkan. 

"Sehingga kini, kita masih lagi meneruskan program berkenaan dan setiap kali diadakan, orang ramai akan beratur panjang kerana harga ditawarkan lebih rendah berbanding di pasaran,” katanya

Selain itu, Fahmi berkata bekalan beras putih tempatan (BPT) kini sudah terdapat di pasaran dan orang ramai tidak lagi berdepan kesukaran untuk membeli beras tersebut. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan