AM

SARAWAK KAJI SEMULA PELAN INDUK ELEKTRIK 2025-2030

17/03/2025 10:51 PM

KUCHING, 17 Mac (Bernama) --Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak serta Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang mengkaji semula Pelan Induk Elektrik Sarawak 2025-2030 bagi memastikan usaha elektrifikasi penuh secara menyeluruh ke kawasan luar bandar di negeri ini tercapai.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata buat masa ini, liputan bekalan elektrik untuk luar bandar di seluruh Sarawak adalah 98.6 peratus.

“Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak akan terus komited untuk mencapai elektrifikasi penuh di Sarawak dengan pembekalan tenaga yang boleh dipercayai secara menyeluruh ke kawasan luar bandar bagi memperkukuh pembangunan ekonomi di negeri ini.

“SEB selaku agensi pelaksana memainkan peranan penting untuk memastikan setisp projek atau inisiatif dilaksanakan dengan lancar dan menepati masa,”** katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa SEB di sini hari ini.

Mengenai Projek Dana Permohonan Tambahan atau Lewat (ALAF), Julaihi berkata sejumlah RM315 juta diperuntukkan sejak 2018 bagi Fasa Satu hingga Fasa Empat yang telah memberi manfaat kepada hampir 20,000 isi rumah.

Beliau berkata sehingga kini, lebih 17,000 permohonan baharu telah diterima bagi inisiatif berkenaan dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

“Kementerian merancang untuk membekalkan elektrik kepada pemohon baharu itu menerusi projek ALAF dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan jumlah peruntukan dianggarkan sebanyak RM550 juta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan