KUALA TERENGGANU, 17 Mac (Bernama) -- Masjid di seluruh negara digalakkan memperbanyakkan aktiviti dan program bagi menggalakkan umat Islam untuk membaca al-Quran, bersempena dengan Nuzul Quran yang akan disambut esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata program dan aktiviti tersebut perlu dilakukan bukan sahaja bagi meraikan sambutan Nuzul Quran, tetapi sebagai usaha membentuk masyarakat Malaysia yang berakhlak serta berbudi pekerti mulia.
“Kita harap bersempena Nuzul Quran ini, masjid dan surau memperbanyakkan aktiviti dan program untuk menggalakkan masyarakat Islam membaca dan menghayati al-Quran, supaya kita berjaya membentuk masyarakat yang mempunyai akhlak dan budi pekerti yang mulia,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Santuni Komuniti Madani di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata di peringkat persekutuan, program World #QuranHour dijadualkan berlangsung pada 25 Mac ini di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Gombak, Selangor.
Beliau berkata World #QuranHour yang diadakan bagi menggalakkan orang ramai berinteraksi dengan kitab suci al-Quran melalui pembacaan, pemahaman dan pengaplikasian itu, dijangka bakal menarik antara 4,000 hingga 5,000 peserta.
Terdahulu Mohd Na’im berkata Program Santuni Komuniti Madani pada hari ini menyaksikan seramai 120 penerima terdiri daripada pemandu bas, kereta sewa, pemandu teksi dan penjaga kaunter, menerima sumbangan berupa kotak barangan makanan seperti beras dan minyak masak.
Beliau berkata sumbangan keseluruhan berjumlah RM26,500 yang diperuntukkan oleh Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) itu, bertepatan dengan satu daripada enam nilai teras Malaysia Madani iaitu Ihsan.
“Selaras itu YWM mengambil inisiatif untuk menyantuni pemandu teksi, kereta sewa dan bas di sekitar Kuala Terengganu sebagai tanda keperihatinan dan cakna terhadap masyarakat setempat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama,” katanya yang turut mengedarkan bubur lambuk kepada komuniti di kawasan tersebut.
-- BERNAMA