KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyeru umat Islam supaya mengamalkan sikap sabar, berfikiran terbuka dan menyelesaikan perbezaan dengan hikmah serta menggunakan saluran yang betul.
Beliau berkata bulan Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal emosi dan menjaga hubungan sesama manusia.
“Saya ingin menegaskan kepentingan tabayyun (menyelidik sebelum bertindak) dalam menjaga keharmonian masyarakat. Insiden baru-baru ini, seorang pemuda bukan Islam ditampar kerana makan pada bulan Ramadan tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.
“Islam mengajar kita untuk bersikap sabar, berakhlak mulia dan menghormati hak setiap individu terutama dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut berkongsi sebuah hadis yang mengingatkan kita bahawa bertindak secara tergesa-gesa tanpa menyelidik boleh membawa kepada kesilapan dan kekesalan.
“Marilah kita bersama membina masyarakat yang harmoni, berakhlak mulia dan penuh dengan nilai kasih sayang, selaras dengan ajaran Islam yang membawa rahmat kepada sekalian alam,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai insiden seorang lelaki warga emas menampar individu yang sedang makan di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.
Siasatan awal mendapati tindakan warga emas itu adalah satu kesalahan kerana individu yang ditampar berkenaan bukan beragama Islam.
-- BERNAMA