NEW YORK, 17 Mac (Bernama-WAFA) -- Kanak-kanak Palestin terus dinafikan bekalan dan perkhidmatan asas di tengah-tengah konflik yang berlarutan, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
“Terlalu kerap, kanak-kanak di Negara Palestin menjadi mangsa konflik yang berlarutan ini. Hampir kesemua 2.4 juta kanak-kanak yang tinggal di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, dan Semenanjung Gaza, terjejas dalam pelbagai cara,” lapor Agensi Berita Palestin (WAFA) yang memetik UNICEF.
Menurut UNICEF, ada kanak-kanak yang hidup dalam ketakutan atau kebimbangan yang melampau, manakala yang lain menghadapi kesan sebenar akibat ketiadaan bantuan kemanusiaan dan perlindungan, pemindahan paksa, kemusnahan atau kematian.
“Semua kanak-kanak mesti dilindungi,” tambahnya.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengarah Serantau UNICEF untuk Asia Barat dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder selepas menamatkan misi selama empat hari ke Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
“Tanpa bantuan memasuki Semenanjung Gaza, kira-kira satu juta kanak-kanak terpaksa hidup tanpa keperluan asas yang mereka perlukan untuk terus hidup – sekali lagi,” katanya.
“Di Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur, lebih 200 kanak-kanak Palestin dan tiga kanak-kanak Israel terbunuh sejak Oktober 2023, angka tertinggi yang direkodkan dalam tempoh itu dalam dua dekad lalu.”
“Kanak-kanak tidak boleh dibunuh, dicederakan atau kehilangan tempat tinggal dan semua pihak mesti menghormati kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa. Keperluan asas dan perlindungan orang awam mesti dipenuhi, dan bantuan kemanusiaan mesti dibenarkan mengalir dengan pantas dan menyeluruh,” tegasnya.
“Puluhan ribu kanak-kanak telah terbunuh dan cedera. Kita tidak boleh kembali kepada situasi yang mendorong angka ini lebih tinggi.”
-- BERNAMA-WAFA