GEORGE TOWN, 17 Mac (Bernama) -- Peniaga bazar Ramadan di Pulau Pinang bersedekah dengan memberikan jualan yang tidak habis dijual kepada golongan memerlukan bagi mengelakkan berlaku pembaziran makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jason H'ng Mooi Lye berkata tindakan itu lebih relevan berbanding membuang lebihan makanan berkenaan.
“Bukan sahaja peniaga, tetapi penganjur bazar-bazar Ramadan di negeri ini juga amat peka dengan hal itu dan sentiasa memastikan tidak berlaku pembaziran makanan atau minuman di gerai mereka.
“Sekiranya ada lebihan makanan atau jualan yang tiada habis dijual, ada yang akan menyalurkan untuk sedekah kepada pihak yang memerlukan termasuk masjid, surau dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pemantauan yang dijalankan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mendapati tahap kebersihan di bazar Ramadan juga dalam keadaan memuaskan.
H'ng berkata beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang turut menjalankan pemantauan di bazar-bazar Ramadan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan aspek kebersihan yang telah ditetapkan.
Selain itu, beliau berkata kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu sangat menekankan isu warga asing berniaga di bazar Ramadan kerana perkara berkenaan telah dinyatakan dengan jelas dalam surat tawaran kepada peniaga.
“Sepanjang bulan puasa ini, terdapat 100 bazar Ramadan dengan 4,574 peniaga menjalankan pelbagai jualan makanan dan minuman. Setakat ini, kami mengambil tindakan terhadap dua gerai yang dikendalikan peniaga warga asing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan berkata secara keseluruhan, pemeriksaan di bazar Ramadan di negeri itu sejak dua minggu lepas mendapati peniaga mempamerkan tanda harga dengan jelas dan berpatutan.
“Dalam tempoh dua minggu ini juga, kami hanya menerima tiga aduan di Pulau Pinang dan satu daripadanya menghasilkan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 manakala dua lagi masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kuih-muih bazar Ramadan di Bertam dekat sini, Nor Azizah Ahmad Kamal, 45, berkata beliau dan peniaga di situ memang akan sedekah makanan yang tidak habis dijual kepada surau dan masjid di kawasan sekitar.
Beliau berkata ada juga dalam kalangan peniaga yang menjual dengan harga murah menjelang waktu berbuka kerana bukan sahaja untuk menghabiskan jualan tetapi mengurangkan pembaziran.
“Kalau dalam pukul 7.15 malam jualan masih banyak, selalunya kami akan jual beli satu percuma satu atau sedekahkan juga kepada pembeli yang datang lewat, kalau masih ada lagi yang tidak habis dan kuih masih elok memang terus hantar ke surau di sini,” katanya.
Bagi Shukran Hashim, 50, yang berniaga nasi ayam dan ayam goreng berkata beliau dan isteri hanya akan memasak dalam kuantiti sederhana terlebih dahulu sebelum menambah jualan jika pengunjung bazar Ramadan semakin meningkat menjelang waktu berbuka.
“Selalunya kami memang sediakan bahan siap-siap contohnya macam ayam goreng, kami akan goreng dalam jumlah 30 hingga 50 ketul dahulu sebelum menambah jika pengunjung semakin ramai kerana kami tidak mahu membazir, tapi jika tidak habis memang sedekah ayam goreng ke masjid atau pusat tahfiz,” katanya.
-- BERNAMA