KUANTAN, 17 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut hari Nuzul Quran kepada seluruh umat Islam, khususnya kepada rakyat negeri ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bertitah hari Nuzul Quran bukan sahaja merupakan hari yang bersejarah, akan tetapi juga satu peringatan bagi semua umat Islam untuk lebih mendalami dan menghayati kandungan al-Quran dalam kehidupan seharian.
“Baginda berdua bertitah tanggal ini adalah untuk seluruh umat Islam memperingati peristiwa agung turunnya wahyu pertama daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menjadi petunjuk hidup kepada seluruh umat manusia.
“Semoga melalui pembacaan dan pengamalan al-Quran, kita dapat memperkukuh iman, meningkatkan ketakwaan serta menegakkan keadilan dan kebaikan di dalam masyarakat,” menurut catatan di Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga mengajak semua umat Islam untuk turut bersama-sama menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara ini serta berdoa agar Allah SWT sentiasa memberikan rahmat dan keberkatan kepada semua.
Sebelum itu, Tengku Ampuan Pahang turut berkenan berangkat ke Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran Wanita Peringkat Pahang Darul Makmur tahun 2025 di Masjid Darul Fikri, Bera pagi tadi.
Menerusi perkongsian di Facebook Kesultanan Pahang, Tunku Azizah berkenan meluangkan masa membaca kalam suci itu bersama-sama kira-kira 1,000 wanita yang hadir mengimarahkan majlis berkenaan, yang diadakan sempena sambutan Nuzul Quran esok.
Pada majlis sama, baginda juga turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 50 orang asnaf dan anak yatim.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook mengajak semua umat Islam khususnya di negeri ini untuk bersama-sama meneruskan usaha membaca dan mengamalkan ajaran al-Quran.
“Semoga keberkatan Nuzul Quran membawa kita lebih dekat kepada Allah SWT dan menjadikan kita umat yang sentiasa berpegang teguh kepada kalam-Nya.
“Dalam bulan yang penuh rahmat ini, marilah kita berdoa agar setiap ayat yang kita baca dan hayati menjadi cahaya dalam kehidupan kita, di dunia dan akhirat...dan agar kita tergolong dalam golongan yang mendapat syafaatnya kelak,” katanya.
-- BERNAMA