TAWAU, 18 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM5 juta aliran tunai tersedia bagi kerja-kerja pembaikan Tabika Perpaduan di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Ruji Ubi.
Beliau berkata kerja-kerja pembaikan bangunan Tabika Perpaduan tidak terlalu rumit kerana struktur bangunannya lebih ringkas berbanding institusi pendidikan lain.
"Kerja-kerja pembaikan ini mungkin melibatkan masalah atap bocor, siling rosak serta sistem perpaipan...di Malaysia terdapat 1,781 Tabika Perpaduan termasuk 142 di Sabah.
"Daripada jumlah itu, 34 tabika di Sabah memerlukan kerja pembaikan. Berdasarkan anggaran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah, lebih RM2 juta diperlukan untuk tujuan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mubarak Ramadan di sini hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam pembentangan Belanjawan 2025, siling peruntukan yang diberikan untuk kerja pembaikan Tabika Perpaduan adalah RM10 juta dengan aliran tunai sebanyak RM5 juta.
"Bagi RM5 juta ini, saya telah meminta agar peruntukan disalurkan segera bagi membaiki tabika yang paling memerlukan terlebih dahulu. Jika terdapat keperluan tambahan, saya akan memohon peruntukan tambahan," katanya.
Sementara itu, Ruji menekankan kepentingan penguasaan asas 3M (membaca, menulis, dan mengira) dalam kalangan murid Tabika Perpaduan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan apabila memasuki Tahun Satu.
"Tahun lalu, Kementerian Pendidikan mengenal pasti kira-kira 122,000 murid Tahun Satu yang tidak mahir dalam 3M. Saya akan turun padang untuk meninjau kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP), selain menilai tahap kompetensi guru Tabika Perpaduan serta kelengkapan PdP yang diperlukan," katanya.
Dalam Program Mubarak Ramadan itu, Ruji menyampaikan bakul rahmah kepada 30 penerima selain meninjau penyediaan 700 pek bubur lambuk serta kacang.
Selain itu, beliau turut mengetuai kunjungan muhibah ke rumah ibadat seperti masjid, kuil, gereja dan tokong bagi beramah mesra serta mengagihkan bubur.
-- BERNAMA