AM

TPM ZAHID UCAP TAHNIAH KEPADA LEIA MAYSSA LANJUTKAN PENGAJIAN KE MIT

19/03/2025 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada seorang pelajar Kolej MARA Banting atas tawaran melanjutkan pengajian ke Massachusetts Institute of Technology (MIT) di Amerika Syarikat. 

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid menyifatkan kejayaan Leia Mayssa Masyerin, 18, bukan sahaja membanggakan keluarga dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), malah ia juga simbol keupayaan pelajar Malaysia untuk bersaing dan cemerlang di peringkat dunia.

"Dengan keazaman, disiplin dan semangat yang tinggi, tiada batasan untuk kita menggapai kejayaan.

"Saya mendoakan agar perjalanan Leia di MIT dipermudahkan dan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berani mengejar impian mereka. Malaysia bangga dengan kejayaanmu, Leia! All the best," katanya.

Ahmad Zahid berkata Leia yang mendapat tawaran ke MIT dalam bidang Sains Komputer bagi sesi kemasukan 2025, sebelum ini mengharumkan nama negara dengan mewakili Malaysia dalam International Mathematical Olympiad tiga tahun berturut-turut di Norway pada 2022, Jepun (2023) dan United Kingdom (2024).

"Dalam pertandingan berprestij ini, Leia berjaya meraih satu pingat gangsa dan dua Honorary Mentions, membuktikan kecemerlangannya dalam bidang matematik di pentas dunia," katanya.

Tidak terhenti di situ, Ahmad Zahid berkata Leia turut terpilih menyertai Kem Matematik Antarabangsa, Maths Beyond Limits di Poland, sebuah program eksklusif yang menghimpunkan pelajar cemerlang dari seluruh dunia untuk mengembangkan bakat dalam matematik dan membina jaringan akademik global.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan