AM

INSIDEN TAMPAR: ISU SENSITIVITI AGAMA, KAUM DAN BANGSA BOLEH DIELAK JIKA SALING HORMAT

19/03/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menitipkan pesanan, di samping membuat teguran berhubung insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar seorang lelaki warga emas semasa makan di kedai serbaneka di pusat beli-belah ketika Ramadan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri percaya isu yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan bangsa boleh dielakkan jika semua pihak patuh dan komited mengamalkan prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain bagi membina sebuah negara bertamadun.

Selain itu sebarang tindakan seumpama itu perlu dihentikan kerana ia bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara.

“Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya terutama di bulan Ramadan sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis dan mengancam keamanan dan kerukunan,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.

Isnin lepas, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan daripada pengadu berhubung kejadian itu pada 9.08 malam, Ahad.

Balveer Singh dipetik berkata dalam insiden pada 3.45 petang hari sama, pengadu yang ketika itu sedang makan mendakwa dia ditampar dua kali pada pipi sebelah kanan oleh lelaki tidak dikenali selepas ditanyakan tentang agamanya, selain diminta menunjukkan MyKad sebagai bukti.

Dalam taklimat hari ini, Tunku Nashrul berkata terdapat usaha giat beberapa pihak yang terus menabur fitnah tanpa henti kepada Perdana Menteri dengan pelbagai siri dan cerita lapuk yang berulang.

“Ini menunjukkan keterdesakan pihak-pihak ini untuk cuba mempengaruhi minda masyarakat serta kontangnya idea mereka dalam usaha membangun negara.

“Memanjangkan fitnah terutama di bulan Ramadan merupakan serendah-rendah akhlak dan ditegah keras oleh Islam,” katanya.

Beliau berkata perkara itu akan terus dipantau agar ia tidak sesekali menggugat serta melemahkan semangat dan niat untuk menjamin kesejahteraan pada negara dan rakyat.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan