EKONOMI

PASARAN SEWA NAIK 3.9 PERATUS, TERTINGGI DALAM LIMA TAHUN KEPADA PURATA RM2,052 -- IQI

19/03/2025 04:59 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pasaran sewa di Malaysia meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun ke tahun kepada purata RM2,052, tertinggi dalam tempoh lima tahun pada suku keempat 2024, menurut gergasi hartanah IQI.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari berkata kadar sewa nasional berkembang 2.8 peratus pada suku keempat 2024 berbanding suku ketiga 2024, menunjukkan sewa kembali ke paras pra Covid-19.

“Aliran kekal teguh tetapi tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan pertumbuhan pesat pada 2022 dan 2023.

“Kadar sewa masing-masing melonjak sebanyak 13.1 peratus dan 5.5 peratus pada tahun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Indeks Sewa Rumah Malaysia pada suku keempat 2024 mencecah paras tertinggi sejak suku pertama 2020, apabila kadar sewa merosot berikutan pandemik Covid-19.

Katanya, ketika ini sewa pajakan baharu adalah lebih tinggi sebanyak 24 peratus berbanding paras terendah 2020, tetapi penyewa secara puratanya masih membayar sebanyak RM442 sebulan iaitu lebih rendah berbanding 2019.

Kashif berkata sewa di Kuala Lumpur pula stabil pada paras RM2,847 selepas tempoh yang tidak menentu, manakala sewa di Selangor menunjukkan pemulihan sederhana, yang menandakan bahawa pasaran menuju ke arah kestabilan.

Bagaimanapun, berbanding 12 bulan sebelumnya, sewa di Kuala Lumpur menyusut 10.2 peratus menjadikan 2024 tahun pertama sejak 2021 negeri itu mencatatkan kadar sewa lebih rendah berbanding sebelum ini. 

“Di sebalik penurunan pada 2024, kadar sewa di Kuala Lumpur kekal sebanyak 35 peratus melebihi paras rendah ketika pandemik,” katanya.

Sementara itu, kadar sewa purata di Selangor meningkat setiap suku tahunan dengan hanya 1.0 peratus pada suku keempat 2024 daripada RM1,820 kepada RM1,839 pada suku ketiga 2024.

“Permintaan didapati sedikit lemah dengan Indeks Sewa Rumah Selangor meningkat kepada 94.5 pada suku ketiga 2024.

“Namun, pasaran sewa di Selangor kekal lebih kukuh berbanding purata nasional dengan indeks di Selangor 94.3 lebih tinggi daripada Indeks Sewa Rumah Malaysia iaitu 76.2,” katanya.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan