IPOH, 19 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan terdapat perbezaan peranan antara Pegawai Khas Menteri Besar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Beliau berkata pegawai khas hanya menjalankan tugas diarahkan Menteri Besar sementara ADUN dapat berurusan terus dengan Menteri Besar berhubung keperluan rakyat di kawasan yang diwakili mereka.
"Bagi pegawai khas, saya minta mereka turun padang pergi melihat apabila ada permohonan daripada rakyat dalam kawasan pembangkang...mereka tidak boleh luluskan pun (sebarang permohonan)," katanya.
Saarani berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan juadah Hari Raya 2025 sumbangan kerajaan negeri Perak kepada pasukan beruniform di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Perak Muhammad Rif'aat Razman dalam hantaran di Facebook menyatakan rakyat di DUN Ayer Kuning tidak akan rugi memilih calon Perikatan Nasional (PN) sebagai wakil rakyat kerana Menteri Besar masih boleh melantik pegawai khas di DUN itu.
Sebelum ini, Saarani dilapor berkata pelantikan pegawai khas bertujuan menutup kelompongan apabila ketiadaan wakil kerajaan dalam mesyuarat tindakan daerah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.
-- BERNAMA