KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Boost Bank bekerjasama dengan CGC Digital, anak syarikat teknologi kewangan (fintech) Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) untuk menyediakan RM130 juta dalam penyelesaian pembiayaan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang layak tetapi tidak mendapat perkhidmatan tersebut.
Menerusi kerjasama ini, CGC Digital akan menyediakan perlindungan jaminan CGC digabungkan dengan penyelesaian pembiayaan PKMS oleh Boost Ban termasuk kemudahan pinjaman berjangka dan kemudahan kredit pusingan untuk mengukuhkan lagi akses PKMS kepada kemudahan kewangan.
“Tawaran ini bertujuan untuk mendekati ribuan PMKS, merapatkan jurang pembiayaan kritikal yang mereka hadapi, pada masa sama membolehkan mereka meningkatkan operasi dan merebut peluang pertumbuhan,” kata Boost Bank dan CGC Digital dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan hari ini.
Pembiayaan pinjaman berjangka Boost Bank menawarkan kepada PMKS proses permohonan yang mudah dengan dokumentasi minimum diperlukan untuk jumlah pinjaman bermula daripada RM50,000.
Kemudahan berkenaan menyediakan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan tanpa yuran penyelesaian awal, memudahkan PKS menguruskan aliran tunai mereka dengan berkesan.
Pilihan pembayaran balik fleksibel juga tersedia untuk diselaraskan dengan keperluan aliran tunai perniagaan tanpa dikenakan penalti.
Sementara itu, pembiayaan kredit pusingan memberikan fleksibiliti kepada PMKS dalam mengurus aliran tunai dan merebut peluang perniagaan dengan pengeluaran pantas, membolehkan dana diterima dalam tempoh dua hari bekerja selepas kelulusan pinjaman.
-- BERNAMA