AM

POLIS KENAL PASTI 14 ‘BLACK SPOT’ KEMALANGAN, 61 LOKASI SESAK SEKITAR IBU NEGARA

27/03/2025 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Polis mengenal pasti 14 lokasi kerap berlaku kemalangan atau black spot dan 61 kawasan aliran trafik tinggi di sekitar ibu negara pada musim perayaan ini menerusi Op Lancar bermula 23 Mac hingga 6 April ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata 14 lokasi black spot itu ialah Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Ipoh, Jalan Kepong, Jalan Loke Yew, Jalan Syed Putra, Jalan Cheras serta Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. 

Lokasi lain turut dikenal pasti ialah Lebuhraya Besraya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

“Pemantauan akan dipertingkat di kawasan ini bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh Op Lancar,” katanya pada sidang media di Program Advokasi Op Selamat 24 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Pavilion Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu, Azry Akmar berkata polis juga akan memberi tumpuan di 61 hotspot yang dikesan mempunyai aliran trafik tinggi termasuk di Bulatan Segambut, Bulatan Batu Caves, Bulatan Kepong dan Bulatan Sungai Besi.

Untuk memastikan keselamatan dan kelancaran trafik, beliau berkata seramai 17 pegawai kanan dan 320 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur akan bertugas sepanjang Op Selamat 24 yang dijalankan sempena Aidilfitri.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas sepanjang tempoh perayaan ini demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan