KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook hari ini menekankan kepentingan membangunkan bakat tempatan dalam teknologi blok rantaian (blockchain) supaya pelaburan dalam sektor itu dapat memanfaatkan rakyat Malaysia.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan semasa menerima kunjungan hormat daripada wakil syarikat Klickl yang mengoperasikan kewangan dan aset dalam ekosistem digital dan blockchain hari ini.
"Kami membincangkan berkenaan perkembangan terkini teknologi ini di peringkat antarabangsa termasuk berkenaan dengan kerangka model dan peraturan yang boleh dijadikan contoh oleh Malaysia dalam menambah baik kerangka kita yang tersendiri," katanya.
Anwar berkata Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam bidang itu dan boleh memanfaatkan teknologi blockchain dalam pelbagai sektor.
Beliau berkata teknologi itu tidak terhad kepada sektor kewangan dan aset digital sahaja, malah ia juga boleh digunakan dalam sektor perkhidmatan kerajaan dan industri halal.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan