KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terus menyokong pelaburan yang membawa teknologi terkini serta meningkatkan kemahiran dan kualiti tenaga kerja tempatan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.
Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai contoh, Dyson Malaysia yang pada tahun 2000 hanya mempunyai 10 pekerja kini menggaji 1,400 pekerja, dengan 98 peratus daripadanya merupakan rakyat Malaysia.
“Sebanyak 20 daripada 23 jawatan pengurusan tertinggi Dyson Malaysia dipegang oleh rakyat Malaysia, dan jawatan-jawatan ini bukan sahaja melibatkan operasi di Malaysia, tetapi juga operasi di peringkat global,” katanya menerusi hantaran video di laman X beliau.
Tengku Zafrul berkata pekerjaan di Dyson Malaysia bukan hanya tertumpu kepada pembuatan produk, malah turut melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Kampus Pembangunan Global di Johor seluas 35,000 meter persegi merupakan salah satu kampus terbesar Dyson di seluruh dunia.
“Ia adalah pusat R&D bertaraf dunia dengan 22 makmal dan ruang untuk menguji prototaip rekaan Dyson,” katanya.
Bagi membangunkan bakat tempatan, beliau berkata Dyson Malaysia turut bekerjasama dengan Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST), agensi di bawah MITI.
-- BERNAMA