KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Aktiviti dagangan di bursa aset digital (DAX) tempatan meningkat dengan mencatatkan purata nilai dagangan harian RM38.06 juta pada 2024 berbanding RM14.88 juta pada 2023, berikutan prestasi positif aset yang didagangkan, kata Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Nilai dagangan harian keseluruhan DAX, mencatatkan nilai terbesar RM300.39 juta pada 3 Dis, 2024, menjelang dagangan Bitcoin mencecah paras bersejarah iaitu US$100,000 buat kali pertama.
Selain itu, nilai purata dagangan harian keseluruhan DAX meningkat dengan ketara sebanyak +155.74 peratus pada 2024, terutamanya didorong oleh aktiviti dagangan pada akhir tahun.
“Pada 2024, momentum nilai dagangan DAX tempatan terutamanya dipacu oleh peristiwa di pasaran global, seperti kelulusan ETF Bitcoin semerta Amerika Syarikat (AS), kejatuhan pasaran global pada Ogos 2024, dan keputusan pilihan raya presiden AS.
“Hal ini sekali lagi mencerminkan kepekaan daya tarik aset digital terhadap perkembangan global walaupun pedagang dan pelabur berada di Malaysia,” kata SC dalam laporan Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2024 yang dikeluarkan hari ini.
SC berkata nilai dagangan aset digital kekal kecil pada 1.64 peratus berbanding nilai dagangan pasaran ekuiti domestik pada 2024.
Menurut laporan itu, Luno terus menjadi DAX yang dominan di Malaysia dan secara kekal menyumbang lebih daripada 93 peratus daripada nilai dagangan harian keseluruhan setiap hari.
“Setakat 2024, ruang aset digital kekal kecil berbanding dengan pasaran ekuiti tradisional, dengan kesalinghubungan yang terhad dengan pasaran ekuiti tradisional.
“Memandangkan hal ini, risiko dalam ruang aset digital kekal terkawal dengan impak sistemik yang terhad kepada pasaran modal domestik,” kata SC.
-- BERNAMA