DUNIA

PASARAN GETAH DITUTUP TINGGI JEJAKI TREND PASARAN SERANTAU

20/03/2025 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia meningkat semula untuk ditutup lebih tinggi pada Khamis berikutan momentum meningkat pasaran getah serantau dan harga minyak mentah penanda aras yang stabil, kata peniaga.

Beliau berkata pasaran turut disokong oleh bahan mentah yang terhad pada musim tertentu di negara pengeluar getah utama di tengah-tengah keyakinan kepada langkah rangsangan selanjutnya di China dan prospek ekonomi China yang lebih baik pada 2025.

"Bank pelaburan global dilaporkan telah meningkatkan unjuran terhadap pertumbuhan ekonomi China pada 2025 selepas isyarat awal pemulihan ekonomi. Bagaimanapun, kebimbangan terhadap pertikaian perdagangan yang semakin meningkat dengan Amerika Syarikat (AS) masih berlarutan.

“Beijing memperkenalkan langkah rangsangan baharu minggu ini untuk meningkatkan penggunaan domestik dan berikrar untuk menyokong pasaran saham dan hartanah di samping mengekalkan sasaran pertumbuhan ekonomi 2025 kira-kira lima peratus," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dikekang oleh ketidakpastian mengenai tarif AS dan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS.

Lembaga Getah Malaysia melaporkan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat 14 sen kepada 884.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menambah 2.0 sen kepada 693.5 sen sekilogram

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan