EKONOMI

TABUNG HAJI KEKAL BERDISIPLIN URUS PELABURAN DI SEBALIK KETIDAKTENTUAN EKONOMI GLOBAL - CEO

21/03/2025 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) akan terus mengekalkan disiplin dalam menguruskan portfolio pelaburannya bagi memastikan pemeliharaan modal yang selamat serta pulangan dividen yang mampan di sebalik cabaran ekonomi global pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata ini berikutan ketidaktentuan pasaran dijangka meningkat akibat risiko kelembapan ekonomi serta perang perdagangan antara negara-negara besar dunia.

“Pelaburan TH adalah berdasarkan strategi peruntukan aset yang telah ditetapkan, dengan kira-kira 55 peratus dilaburkan dalam sukuk, 27 peratus dalam pasaran saham dan selebihnya dalam sektor hartanah serta instrumen pasaran wang.

“Mengenai pelaburan selamat, TH menumpukan kepada aset-aset konservatif seperti sukuk patuh syariah dan instrumen pasaran wang yang kurang berisiko berbanding ekuiti persendirian,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH bagi tahun kewangan 2024, di sini hari ini.

TH hari ini mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.

Beliau turut memaklumkan bahawa 90 peratus aset TH dilaburkan dalam negara, termasuk dalam pasaran saham Bursa Malaysia, sukuk berkadar AA dan AAA, serta hartanah yang menjana pendapatan melalui hasil sewaan.

Menjawab pertanyaan mengenai perancangan TH dalam pelaburan emas, Syed Hamadah berkata tiada perancangan mengenainya memandangkan ia (pelaburan emas) bukan sebahagian daripada aset yang diluluskan oleh lembaga dan menteri.

Sementara itu, mengulas perbezaan TH dengan institusi-institusi pelaburan lain, beliau berkata TH merupakan institusi unik yang menyesuaikan strategi pelaburan berdasarkan toleransi risiko dan tahap kecairan tertentu.

“Satu lagi keunikan TH adalah keuntungan pelaburannya digunakan untuk melunaskan zakat bagi pihak pendeposit, sesuatu yang tidak dilakukan oleh kebanyakan institusi kewangan lain,” katanya.

Mengenai kadar dividen, beliau berkata TH sentiasa berusaha untuk menawarkan pulangan kompetitif kepada pendeposit.

“Kadar dividen yang diumumkan adalah selaras atau melebihi kadar deposit Islam satu tahun, dan tahun ini, kita berjaya memberikan pulangan sebanyak 3.25 peratus, lebih tinggi daripada purata kadar deposit Islam 2024.

“TH juga menyasarkan kadar yang lebih baik pada tahun ini, bergantung kepada keadaan ekonomi global dan domestik,” kata beliau.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan