KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Raja Zarith Sofiah meluangkan masa beramah mesra dengan mangsa serta mengurniakan sumbangan peribadi kepada penduduk terjejas di PPS Kampung Maju Jaya.
PPS yang mula dibuka sejak 20 Mac lepas itu, menempatkan seramai 313 mangsa banjir daripada 74 keluarga yang terkesan.
“Raja Zarith Sofiah kemudian berangkat ke PPS Kampung Sinaran Baru yang menempatkan 435 mangsa banjir daripada 110 keluarga,” menurut hantaran itu.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dan isteri, Puan Sri Dr Noor Azizah Abdul Latif.
Sementara itu, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Malaysia turut menyumbangkan kit penjagaan kebersihan diri serta bantuan perubatan kepada setiap keluarga di PPS.
-- BERNAMA