TELUK INTAN, 21 Mac (Bernama) -- Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari atas dua pertuduhan mengedar 28.85 kilogram dadah antara 12 hingga 16 Mac lepas.
N. Devandaran, 33; P. Sivaganesh, 43; B. Vasanthan, 45, dan N. Maghendran, 48, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat 27,050 gram (g) dan 1,800g di sebuah premis tidak bernombor di sebelah Lot 15040 di Kampung Baru di Ulu Bernam, Bagan Datuk.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan sehingga 15 kali, sekiranya tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan manakala keempat-empat lelaki itu tidak diwakili peguam.
Pada 16 Mac lepas, media melaporkan polis berjaya menumpaskan satu sindiket memproses pelbagai jenis dadah dengan penangkapan tiga lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan di Perak dan Lembah Klang.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata rampasan dadah berkenaan dianggarkan berjumlah RM1.6 juta.
-- BERNAMA