JOHOR BAHRU, 21 Mac (Bernama) -- Seorang pengurus ladang kelapa sawit kerugian RM1.9 juta selepas terperdaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata lelaki berusia 69 tahun itu mendakwa telah ditawarkan pelaburan berkenaan oleh individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp dan dia diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan sebelum memulakan perdagangan mata wang kripto.
Beliau berkata warga emas itu yang berminat dengan tawaran keuntungan 20 hingga 40 peratus daripada jumlah yang dilaburkan telah menurut arahan suspek dan kemudiannya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp untuk arahan selanjutnya.
“Mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM1.9 juta ke beberapa akaun bank yang diarahkan antara Disember 2024 hingga Februari lepas. Selepas bayaran dibuat, dia melihat status pelaburannya di aplikasi tersebut mencatatkan keuntungan sebanyak USD22.2 juta.
“Mangsa mahu mengeluarkan wang itu tetapi masih diminta membuat pembayaran. Mangsa percaya telah ditipu lalu membuat laporan polis semalam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA