AM

FELDA RANGKA HALA TUJU BAHARU BERI IMPAK KEPADA PENEROKA DAN NEGARA

28/03/2025 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sedang merangka hala tuju baharu yang bakal memberi impak kepada warga peneroka dan negara, seperti yang diminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

FELDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan hala tuju itu akan dikemukakan dalam tempoh sebulan, dengan matlamat untuk memastikan kebolehupayaan institusi itu menghadapi cabaran masa depan serta memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju sektor agrobisnes negara.

“FELDA akan segera selepas Aidifitri ini memberi tumpuan kepada proses memperincikan pelan tindakan berdasarkan data dan kajian sedia ada, serta mengambil input daripada kepimpinan dalaman FELDA, kepimpinan negara, pakar sektor perladangan, pakar ekonomi dan pihak yang berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

Langkah tersebut diambil bagi memperhalusi semua inisiatif yang mampu membawa lonjakan besar sebagai pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar, khususnya dalam sektor perladangan dan pembangunan komuniti.

Selain itu, pendekatan inklusif tersebut akan memastikan setiap dasar yang dirangka bakal memberi ledakan kebaikan yang memberikan perubahan yang signifikan.

“FELDA juga yakin dengan sokongan padu daripada Kerajaan MADANI serta kolaborasi erat antara pihak berkepentingan, kita mampu merealisasikan visi untuk memperkasakan peneroka dan terus memainkan peranan utama dalam menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan sosial negara,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga FELDA memberi tempoh sebulan kepada agensi itu untuk mengemukakan pendekatan hala tuju baharu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hala tuju itu bagi menjamin masa hadapan yang lebih baik kepada peneroka.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan