KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan perdagangan luar Malaysia akan kekal pada kadar lima peratus pada 2025, didorong oleh permintaan teknologi global dan faktor lain, meskipun prestasi Februari lebih perlahan daripada jangkaan.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, bank pelaburan itu berkata walaupun prestasi Februari tidak mencapai sasaran, aktiviti pembelian awal dijangka meningkat pada Mac sebelum tarif timbal balik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkuat kuasa pada April.
"Namun, peningkatan ini mungkin tidak mampan sepanjang tahun. Sektor teknologi global dijangka terus menyokong pertumbuhan eksport, dipacu oleh permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), limpahan kesan daripada peralihan perdagangan serta jangkaan pemulihan ekonomi dalam kalangan rakan dagang utama.
"Permintaan dijangka meningkat dari China dan berkemungkinan juga dari Eropah berikutan kesan limpahan daripada rangsangan ekonomi serta pelonggaran dasar monetari," katanya.
Bagaimanapun, Kenanga memberi amaran bahawa ketidaktentuan ekonomi AS, terutamanya akibat tarif yang lebih tinggi, masih menjadi kebimbangan utama kerana pengurangan ketara dalam import AS boleh memberi kesan negatif kepada perdagangan global, memandangkan negara itu adalah pasaran pengguna utama serta destinasi eksport utama bagi Malaysia.
Bank itu turut menekankan risiko seperti pemulihan ekonomi China yang lebih perlahan daripada jangkaan serta potensi gangguan perdagangan global akibat tarif yang dilaksanakan oleh Trump boleh menjejaskan sentimen pengguna dan perniagaan.
Bagi pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), Kenanga mengekalkan unjuran pertumbuhan pada kadar 4.8 peratus bagi 2025, disokong oleh permintaan domestik, khususnya peningkatan penggunaan dan pelaburan swasta.
"Secara keseluruhan, kadar pertumbuhan yang sederhana mencerminkan kesan asas, normalisasi aktiviti ekonomi domestik serta ketidaktentuan dasar global di bawah pentadbiran Trump," katanya.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd (PIVB) mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport Malaysia pada kadar empat peratus bagi 2025, dengan mengambil kira ketidaktentuan dasar perdagangan yang meningkat, termasuk pengumuman tarif timbal balik AS yang masih tertangguh serta risiko tindakan balas daripada rakan dagang utama.
PIVB memberi peringatan bahawa peningkatan tarif boleh memberi impak ekonomi yang meluas daripada sekadar aliran perdagangan, kerana ketidaktentuan dasar yang meningkat mungkin mendorong syarikat menilai semula daya tahan rantaian bekalan dan strategi peruntukan modal.
"Jika ketegangan perdagangan global terus meruncing, ia boleh menjejaskan sentimen perniagaan dan memperlahankan peluasan kapasiti dalam industri utama seperti semikonduktor serta elektrik dan elektronik, yang menjadi teras kepada sektor pembuatan Malaysia," katanya.
Selain itu, bank itu turut menyatakan bahawa gangguan perdagangan yang berterusan boleh memburukkan lagi turun naik mata wang, dengan ringgit berdepan tekanan penyusutan jika risiko luaran semakin meningkat.
"Walaupun petunjuk jangka pendek menunjukkan kesan terhad kepada sektor semikonduktor buat masa ini, kami melihat risiko yang semakin meningkat pada separuh kedua 2025 berikutan penyesuaian rantaian bekalan, peningkatan kos input serta permintaan luar yang lebih lemah, boleh membebankan prospek eksport Malaysia.
"Justeru itu, seiring dengan ketidaktentuan geopolitik yang terus meningkat, pemantauan rapi adalah penting dalam menilai implikasi lebih luas terhadap pertumbuhan dan pelaburan," katanya.
-- BERNAMA