KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum positif pada Februari 2025, mencatatkan pertumbuhan 5.9 peratus tahun ke tahun kepada RM223.89 bilion, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI menjelaskan eksport meningkat 6.2 peratus kepada RM118.26 bilion manakala import naik 5.5 peratus kepada RM105.64 bilion.
“Ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-14 bulan berturut-turut bagi perdagangan dan bulan kelima berturut-turut bagi eksport.
“Sementara itu, lebihan dagangan meningkat kepada RM12.62 bilion, merupakan lebihan yang ke-58 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020. Perdagangan, eksport dan import juga mencatatkan nilai tertinggi dalam sejarah untuk Februari,” tambah MITI dalam kenyataan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia pada Khamis.
MITI memaklumkan kenaikan eksport telah didorong terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan perkilangan (85.7 peratus daripada jumlah eksport) yang naik sebanyak 8.8 peratus kepada RM101.3 bilion.
Kenaikan itu disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang meningkat melebihi RM7 bilion, menurut kementerian itu.
MITI menjelaskan keluaran pertanian, khasnya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, turut menyumbang kepada kenaikan eksport.
Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan permintaan bagi barangan E&E, khususnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik (IC), menurut kementerian itu.
MITI menambah, kenaikan itu selaras dengan unjuran 11.2 peratus pertumbuhan jualan semikonduktor global 2025 yang dikeluarkan oleh World Semiconductor Trade Statistics (WSTS).
Eksport ke pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut meningkat tahun ke tahun, termasuk Mexico dan Kanada, yang dipacu oleh permintaan berterusan terhadap barangan E&E.
“Pada dua bulan pertama 2025, prestasi perdagangan negara terus mencatatkan trajektori pertumbuhan, naik 4.4 peratus kepada RM465.86 bilion berbanding tempoh yang sama 2024.
“Eksport bertambah 3.1 peratus kepada RM241.07 bilion manakala import menokok 5.9 peratus kepada RM224.79 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM16.28 bilion. Perdagangan, eksport dan import juga mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh ini,” menurut MITI.
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan pertumbuhan volum perdagangan dunia sebanyak 3.0 peratus pada 2025, manakala Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan peningkatan sebanyak 3.2 peratus.
“Bagaimanapun, kadar pertumbuhan ini berkemungkinan dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik semasa.
“Bagi mengekalkan pertumbuhan dalam perdagangan antarabangsa, MITI dan agensi promosi perdagangan, MATRADE, komited untuk memperluas eksport ke pasaran sedia ada dan juga meneroka pasaran baharu,” tambah MITI.
-- BERNAMA