EKONOMI

BOEING AKAN TINGKATKAN TENAGA KERJA MALAYSIA SEBANYAK 20 PERATUS BAGI MENYOKONG MAG

21/03/2025 04:47 PM

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) -- Presiden Boeing Global Brendan Nelson mengumumkan syarikat itu akan meningkatkan tenaga kerjanya di Malaysia sebanyak 20 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang bertujuan mengukuhkan komitmennya terhadap industri aeroangkasa negara.

Beliau berkata syarikat industri pesawat itu menggaji lebih 1,000 rakyat Malaysia di kilang pembuatannya di Kedah, yang merupakan satu-satunya kilang Boeing di Asia Tenggara.

"Pengumuman yang bersejarah ini dibuat berdasarkan kedudukan Malaysia Airlines dan memberi tumpuan kepada masa depannya. Kumpulan ini juga sedang melihat pesawat berbadan lebar yang lebih besar untuk memperluas rangkaiannya ke negara-negara lain di dunia," katanya kepada media selepas Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan tempahan bagi penggantian pesawat berbadan sempitnya di sini hari ini.

MAG mengumumkan pemerolehan 30 pesawat baharu secara langsung daripada Boeing sebagai sebahagian daripada strategi pemodenan kumpulan pesawatnya.

Nelson turut menyifatkan Malaysia Airlines sebagai salah satu syarikat penerbangan terkemuka di dunia dan berkata tempahan pesawat terbaharu itu menunjukkan komitmennya terhadap pertumbuhan masa depan.

Menyerlahkan potensi pertumbuhan yang besar dalam sektor penerbangan di Asia Tenggara, beliau berkata prospek pasaran komersial Boeing untuk rantau ini dalam tempoh 20 tahun akan datang mengunjurkan permintaan untuk 4,700 pesawat baharu.

"Pertumbuhan ini sangat besar, dan harus diingatkan bahawa 80 peratus orang di seluruh dunia masih belum menaiki pesawat," katanya.

Nelson juga menekankan perkongsian yang kukuh antara Boeing dan Malaysia Airlines, dengan berkata hubungan itu melangkaui urusan komersial semata-mata.

"Di kilang pembuatan komposit Boeing kami di Kedah, rakyat Malaysia menghasilkan komponen Malaysia yang kecil tetapi komponen itu terdapat dalam setiap pesawat Boeing di dunia.

"Kami berbangga dengan perkongsian ini dan akan terus meningkatkan rantaian bekalan kami, mengembangkan kehadiran pembuatan kami, dan memastikan kami menyampaikan keyakinan dan kepercayaan yang diberikan kepada kami oleh Malaysia Airlines," katanya.

Nelson menekankan bahawa Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global Boeing, terutamanya melalui kilang pembuatan kompositnya di Kedah.

Beliau juga berkata inisiatif Boeing itu selaras dengan cita-cita ekonomi kerajaan Malaysia.

"Semua yang kami lakukan ini bagi menyokong dan membantu visi serta cita-cita Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kemajuan negara," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar berkata industri penerbangan Malaysia dalam proses pemulihan dan membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan dan pengembangan yang berterusan, selaras dengan sektor penerbangan di rantau ini yang pulih secara keseluruhannya.

Perdana Menteri berkata pengumuman oleh MAG hari ini bukan sekadar memodenkan kumpulan pesawatnya, tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peserta utama dalam penerbangan global di samping meneguhkan asas ekonomi negara dalam dunia yang semakin kompetitif.

Anwar menambah tempahan untuk pesawat baharu itu bukan sahaja akan meningkatkan perjalanan, menggabungkan teknologi moden dan meningkatkan kecekapan, tetapi juga akan mencipta peluang pekerjaan, merangsang pelancongan, dan mengukuhkan industri-industri yang berkembang pesat dalam sektor penerbangan.

“Kesan susulan akan dinikmati di seluruh ekonomi kita, mewujudkan peluang-peluang baharu untuk perniagaan dan individu,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan