AM

PM ANWAR MAHU PEMBANGUNAN DI SABAH DIBERI PENEKANAN

22/03/2025 09:42 PM

TUARAN, 22 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada projek pembangunan di Sabah, khususnya dalam aspek bekalan elektrik, pembinaan taman perindustrian, perumahan rakyat, dan pembaikan jalan raya.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan kemudahan asas dan pembangunan ekonomi terus dipacu seiring demi kesejahteraan penduduk negeri ini.

“Mesyuarat di Pejabat Daerah Tuaran hari ini menumpukan perbincangan kepada prestasi pelaksanaan projek Rancangan Malaysia di Sabah, termasuk status projek sakit, permohonan projek keutamaan negeri bagi tahun 2026 serta status kemiskinan tegar.

“Turut dibincangkan adalah inisiatif program Sabah Maju Jaya (SMJ), status Projek SejaTi MADANI, Projek Kampung Angkat MADANI, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan permohonan tambahan pembaikan jalan raya di negeri Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Taklimat dan Mesyuarat Pembangunan Negeri Sabah di Pejabat Daerah Tuaran yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar kemudian menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat di sini.

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Hajiji serta seluruh jentera pentadbiran negeri dan kepimpinan masyarakat atas komitmen tinggi serta kerjasama erat dalam memastikan kestabilan politik yang kukuh bagi menjayakan pembangunan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan