SEREMBAN, 21 Mac (Bernama) -- Semua penjawat awam di peringkat Persekutuan dan negeri perlu mempunyai nilai taat setia yang tinggi kepada pemimpin dan juga negara, serta menjalankan perkhidmatan dengan penuh berintegriti, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata segala matlamat dasar yang diperkenalkan oleh pemimpin lebih mudah tercapai, sekiranya penjawat awam yang melaksanakan amanah tersebut dengan nilai taat setia yang tinggi dan berdedikasi dalam menjalankan tugas diberikan.
“Terdapat lima aspek ‘Kesetiaan’ yang perlu diberikan perhatian, iaitu kesetiaan kepada perlembagaan dan undang-undang negara, memberikan komitmen terhadap tugas dan amanah diberikan, pengamalan sikap profesionalisme, melahirkan kepercayaan awam dan kesediaan berkhidmat demi negara.
“Penjawat awam perlu memastikan semua rakyat mendapat layanan yang adil dan saksama tanpa mengira latar belakang, etnik, atau agama. Dalam konteks pentadbiran, penjawat awam perlu memastikan pengagihan sumber negara dilakukan secara adil dan seimbang agar tiada golongan terpinggir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majis Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Sembilan anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim di sini hari ini.
Shamsul Azri berkata setiap penjawat awam perlu meletakkan nilai intergriti dalam diri, bagi mengangkat patriotisme seseorang penjawat awam serta tidak terlibat dalam sebarang penyalahgunaan kuasa atau rasuah.
“Penghayatan nilai integriti akan menghindari gejala yang merosakkan sistem pentadbiran negara dan memastikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan terus terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata program Jelajah Taat Setia MADANI Penjawat Awam ialah inisiatif baharu AKM, bertujuan meningkatkan keberkesanan penyampaian penjawat awam, memperkukuh semangat taat setia dalam kalangan penjawat awam terhadap pemimpin, kerajaan dan negara.
Beliau berkata program tersebut memberikan penjelasan mengenai integriti dan nilai kenegaraan, serta mengukuhkan kefahaman tentang konsep taat setia berasaskan Perlembagaan dan prinsip demokrasi berparlimen serta bertanggungjawab dalam menjalankan tugas selari dengan konsep Malaysia MADANI.
“Negeri Sembilan merupakan negeri pertama siri Jelajah Taat Setia MADANI Penjawat Awam ini dan selepas Hari Raya Aidilfitri akan diikuti dengan negeri lain,” katanya di hadapan 1,000 penjawat awam Persekutuan dan negeri.
Sementara itu, Shamsul Azri turut melancarkan Pekeliling AM Jabatan Perdana Menteri Bilangan 1 Tahun 2025, bertajuk ‘Pembudayaan Amalan Patriotisme dan Taat Setia Penjawat Awam’.
Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2025, tersebut menyatakan semua premis kerajaan diminta untuk melaksanakan lafaz Ikrar Rukun Negara dan nyanyian lagu Negaraku sekurang-kurangnya seminggu sekali,
Selain itu, lafaz ikrar Rukun Negara dan nyanyian lagu kebangsaan pada majlis rasmi kerajaan juga perlu dijadikan amalan tetap dan semua agensi kerajaan hendaklah mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang tahun secara berterusan, tidak terhad hanya pada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Menurut pekeliling itu, penghuni kuarters kerajaan juga diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang semasa sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, bagi menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi.
-- BERNAMA