KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Sektor automotif Malaysia dijangka mengalami jualan yang lebih rendah pada 2025.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengunjurkan jumlah volum industri (TIV) sektor itu kembali normal kepada 750,000 unit pada 2025, penurunan sebanyak 8.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y) berbanding jangkaan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 780,000 unit.
"Pilihan utama kami adalah MBM Resources (Saranan Beli, harga sasaran (TP): RM7.40) dan Sime Darby (Beli, TP: RM2.65) berikutan leverage kumpulan itu pada volum jualan Perodua lebih mampan.
“Sementara itu, kemasukan beberapa pemain kenderaan elektrik (EV) baharu ke dalam pasaran terus memberi menjejaskan pengeluar peralatan asal (OEM) disebabkan harga menarik ditawarkan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagaimanapun, HLIB berkata masih terdapat potensi peningkatan daripada pelancaran model baharu yang menarik pada akhir 2024 dan 2025 serta aktiviti jualan dan pemasaran lebih agresif oleh pelbagai OEM untuk mengekalkan jualan.
HLIB telah mengekalkan saranan “neutral” untuk sektor tersebut.
Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan TIV untuk 2025 akan mencecah 805,000 unit, penurunan sedikit 1.0 peratus tahun ke tahun, didorong oleh minat belian hadapan berikutan penangguhan peraturan duti eksais baharu sehingga akhir 2025.
“Namun, kami menjangkakan Perodua mendapat manfaat paling banyak dengan penguasaan pasaran TIV sebanyak 44 peratus, hasil daripada kadar penyetempatan tertinggi yang boleh menyebabkan harga kenderaan pemasangan tempatan meningkat 10-30 peratus serta pelancaran model baharu menarik termasuk Perodua hibrid, Perodua EV dan Perodua Myvi terbaharu.”
Kenanga Investment berkata pasaran automotif berada dalam dua kedudukan iaitu ada segmen dijangka berkembang positif manakala segmen lain menghadapi cabaran, ia dijangka berterusan pada 2025.
“Perniagaan berjalan seperti biasa (tidak terjejas) untuk segmen mampu milik kerana pelanggan sasarannya, iaitu kumpulan pendapatan 40 peratus terendah (B40), kumpulan peringkat rendah M40 (berdasarkan pendapatan) tidak akan terkesan dengan rasionalisasi subsidi RON95 dijadual akan dilaksanakan dan berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif.
"Bagaimanapun, perkara berbeza berlaku bagi segmen premium. Pelanggan sasarannya, kumpulan M40 dan T15 peringkat atasan, mungkin tidak berhasrat membeli kereta baharu, dijangka beralih kepada kereta lebih kecil (murah) atau memilih kenderaan hibrid dan elektrik (EV) untuk mengurangkan perbelanjaan bahan api mereka susulan pengenalan rasionalisasi subsidi bahan api," katanya.
Kenanga Investment Bank telah mengekalkan saranan "overweight" untuk sektor tersebut.
RHB Investment Bank Bhd menjangkakan TIV tahun ke tahun lebih rendah pada suku pertama (suku pertama 2025), disokong oleh penurunan dalam pesanan tertunggak berikutan TIV tertinggi telah dicapai tahun lepas.
“Memandangkan YTD TIV sangat rendah (-14.3 peratus tahun-tahun), kami percaya TIV untuk suku pertama 2025 akan berkurangan tahun ke tahun, menyokong jangkaan kami terhadap kemerosotan kitaran dalam sektor itu, ditambah lagi dengan pesanan tertunggak berkurangan untuk pengeluar kereta utama.
"Kami menjangkakan TIV pada Mac akan meningkat bulan ke bulan, didorong oleh pengeluar kereta meningkatkan jualan melalui promosi musim perayaan yang agresif menjelang sambutan Aidil Fitri pada April," katanya.
RHB Investment Bank mengekalkan saranan “neutral” untuk sektor tersebut berdasarkan faktor kekurangan pemangkin untuk memacu jualan dan pendapatan ke paras tertinggi baharu.
-- BERNAMA