EKONOMI

REHDA OPTIMIS SASARAN JUALAN BERNILAI RM180 BILION BOLEH DICAPAI

20/03/2025 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pasaran hartanah Malaysia dijangka mengukuh pada separuh kedua 2025 dan berada di landasan untuk mencapai jualan RM180 bilion tahun ini, kata Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Malaysia.

Presidennya Datuk Ho Hon Sang berkata sasaran jualan itu boleh dicapai, dengan mengambil kira prestasi yang mantap pada tahun lepas.

Malaysia mencatatkan transaksi hartanah tertinggi pada 2024 dalam tempoh lebih sedekad, meningkat sebanyak 18 peratus kepada RM223.2 bilion berbanding RM196.8 bilion pada 2023.

"Pencapaian pada 2024 telah mendorong semangat pemaju-pemaju lain. Saya percaya mereka boleh melakukan dengan lebih baik lagi pada 2025," katanya dalam taklimat media Tinjauan Industri Hartanah Rehda bagi separuh kedua 2025 dan unjuran pasaran 2025 di sini, hari ini.

Pada Isnin lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan berkata kementeriannya menyasarkan untuk menjana RM180 bilion dalam jualan hartanah merentas semua subsektor tahun ini.

Ho berkata seramai 127 ahli pemaju yang mengambil bahagian dalam Tinjauan Sentimen Industri Hartanah Rehda untuk separuh kedua 2024 menunjukkan sikap optimis terhadap pasaran hartanah, dengan 40 peratus melaporkan peningkatan jualan pada separuh kedua 2024.

Sementara itu, 177 responden daripada Tinjauan Industri Hartanah untuk separuh kedua 2024 dan Unjuran Pasaran untuk 2025 melaporkan penurunan sebanyak tujuh peratus dalam unit yang dilancarkan, iaitu berjumlah 13,611 unit; jualan merosot kepada 3,802 unit berbanding 6,907 unit pada separuh pertama 2024.

Beliau berkata 56 peratus daripada responden merancang untuk melancarkan produk mereka pada separuh pertama 2025, manakala bakinya, iaitu 44 peratus lagi menyatakan alasan untuk menangguhkan pelancaran, disebabkan oleh kelewatan dalam mendapatkan kelulusan, keadaan pasaran yang tidak menggalakkan, kekangan perniagaan, jumlah stok tidak terjual yang lebih tinggi, dan kekurangan bank tanah.

Dari segi pelancaran akan datang, beliau berkata responden mengunjurkan sebanyak 11,828 unit strata dan 9,805 unit bertanah; 55 peratus daripada responden menjangkakan prestasi jualan antara 25 hingga 50 peratus dalam tempoh enam bulan.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa 41 peratus responden mempunyai unit kediaman siap yang tidak terjual setakat 31 Disember 2024, dengan 43 peratus daripadanya berharga antara RM400,001 hingga RM500,000; penolakan pinjaman pembiayaan akhir dan permintaan atau minat yang rendah dinyatakan sebagai alasan utama.

Ho berkata tinjauan itu mendedahkan bahawa pendapatan pembeli, dokumentasi kewangan yang tidak mencukupi dan sejarah kredit yang buruk merupakan punca kepada penolakan pinjaman.

Majoriti pemaju melaporkan kenaikan sebanyak tiga hingga enam peratus dalam kos keseluruhan menjalankan perniagaan pada separuh kedua 2024, manakala 56 peratus daripada responden menghadapi cabaran ketika dalam pembinaan.

Responden terkesan oleh harga yang tinggi, kekurangan bekalan bahan binaan serta tidak konsisten, manakala cabaran buruh pula meliputi gaji yang tinggi, kekurangan bekalan dan kelulusan yang mengambil masa yang panjang.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan