AM

BPHB SERAH ZAKAT PERNIAGAAN RM3.6 JUTA KEPADA TABUNG BAITULMAL SARAWAK

21/03/2025 08:39 PM

KUCHING, 21 Mac (Bernama) -- Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menyerahkan zakat perniagaan untuk tahun 2024 berjumlah RM3.6 juta yang juga sumbangan zakat tertingginya setakat ini kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

BPHB dalam kenyataannya berkata sumbangan zakat itu diserahkan oleh Ketua Presiden/Pegawai Eksekutif Kumpulannya Ruslan Abdul Ghani kepada Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie dalam satu majlis yang disaksikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Ruslan berkata zakat yang disalurkan itu dapat memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan, selain mengukuhkan hubungan serta meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap syarikat. 

“Sebagai sebuah syarikat korporat, BPHB bukan sahaja berusaha menyediakan perkhidmatan yang efisien dan berkualiti, tetapi juga menegaskan komitmennya dalam menunjukkan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan melalui pengagihan keuntungan syarikat,” katanya.

Menurut beliau pembayaran zakat itu turut membuka ruang bagi BPHB melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui peruntukan Wakalah, di mana sebahagian daripada wang zakat akan dikembalikan kepada syarikat untuk disumbangkan semula kepada golongan asnaf. 

“Bintulu Port berharap sumbangan zakat ini akan memberi kesan positif terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat di Sarawak,” tambahnya.

Penyerahan zakat itu turut disaksikan Pengerusi BPHB yang juga Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, beberapa ahli Lembaga Pengarah BPHB dan barisan pengurusan tertinggi Bintulu Port.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan